Pusingan akhir lebih panas menuju hari penentuan

Pusingan akhir lebih panas menuju hari penentuan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpotensi diadakan hujung tahun ini sebagai jalan penyelesaian kemelut politik semasa. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Je­ram memasuki pusingan akhir minggu ini.

Selepas seminggu berkempen, pelbagai isu dibangkitkan oleh calon-calon dan jentera parti-parti yang bertanding.

Jika tempoh seminggu awal sebaik sahaja hari penamaan calon pada 26 Ogos lalu le­bih menjurus terhadap usaha ‘memperkenalkan’ calon ma­sing-masing, namun pusingan terakhir, iaitu menjelang hari pengundian pada 9 September ini dijangka lebih panas.

SUHU

Malah, kehadiran semakin ramai pemimpin tertinggi parti-parti yang bertanding, khususnya daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) bakal ‘memanaskan’ suhu kempen.

Seakan-akan sudah sebati dengan budaya politik Malaysia, khususnya semasa kempen pilihan raya, para pemimpin yang dibawa untuk berceramah sering membangkitkan isu-isu berkaitan parti lawan.

Malah, serangan-serangan.yang dilakukan semasa ceramah kadang-kadang bersifat peribadi sehingga boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada ahli parti dan pemimpin yang terlibat.

Tuduh-menuduh dan memburuk-burukkan pemimpin dan parti lawan sering dijadikan intipadi ceramah dan kempen.

Dalam tempoh seminggu terakhir ini, dijangkakan ‘peluru-peluru’ serangan dijangka lebih hebat bagi meruntuhkan moral pihak lawan dan membangkitkan semangat pasukan yang didokong perjuangannya.

Walaupun aksi berbalas serangan bakal semakin rancak, namun diharapkan semua calon dan pemimpin parti-parti politik yang terlibat dapat mengemukakan solusi dan pendekatan dalam menangani pelbagai permasalahan rakyat, khususnya di kedua-dua kawasan tersebut, iaitu di Pulai dan Simpang Jeram.

Antara isu setempat yang sering dibangkitkan berkaitan kemudahan dan keselesaan rakyat seperti parkir tak mencukupi, suasana gelap pada waktu malam, sampah-sarap, pendidikan, kos sara hidup, pekerjaan dan pembangunan modal insan.

Isu-isu ini amat perlu ditangani segera kerana amat dekat dengan pengundi dan rakyat.

Justeru, PRK yang diadakan ini adalah medan terbaik bagi pengundi di kedua-dua kawasan tersebut memilih wakil rakyat yang mereka percaya dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah atau isu yang timbul di kawasan tersebut.

Jangan hanya nilai menerusi kehebatan berceramah atau menabur janji, namun pilih dengan ‘mata hati’ calon yang mampu menyantuni dan mendengar denyut nadi rakyat.

Jadi, tempoh lima tahun akan datang terletak pada kertas undi anda! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN