KUALA LUMPUR: Semua projek yang sudah lama diluluskan termasuk projek dalam Rancangan Malaysia terdahulu tetapi belum dimulakan dalam tempoh masa munasabah akan dibatalkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan bagi memberikan laluan kepada projek-projek rakyat yang lebih mendesak.
Dalam pada itu, beliau berkata, satu Jawatankuasa Khas Pemantauan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan projek agar rakyat mampu mengecapi nikmatnya tanpa lengah.
“Saya juga akan bersama-sama memastikan setiap anggota Kabinet memantau pelaksanaan projek RMK12 agar rakyat mampu mengecapi nikmatnya tanpa berlengah lagi. Pelan bagi pemantauan pelaksanaan kebijakan KSP RMK12 disediakan sebagai panduan kepada setiap kementerian dan agensi untuk melaksanakan semua kebijakan ini.
“Sebahagian daripada sasaran KSP RMK12 juga akan dijadikan KPI kementerian. Bagi tujuan tersebut satu Jawatankuasa Khas Pemantauan KSP RMK12 akan ditubuhkan,” katanya ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Perdana Menteri kemudian mengajak semua anggota dalam kerajaan termasuk anggota pentadbiran dan Ketua Jabatan, agar sama-sama melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah bagi memastikan peristiwa salah laku dan teguran audit yang telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak berulang.
“Kerajaan akan terus ambil pendekatan aktif mendengar dan melibatkan rakyat dalam proses penyediaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi mendapatkan pandangan berbeza daripada seluruh lapisan masyarakat.
“Ingin saya tegaskan, bahawa rakyat adalah penentu hala tuju negara. Harapan rakyat yang menggunung tinggi tetap menjadi asas dalam RMK13,” katanya.- UTUSAN