PRK: Masih ramai ahli UMNO keliru - Jais - Utusan Malaysia

PRK: Masih ramai ahli UMNO keliru – Jais

MD. JAIS SARDAY memberi penerangan tentang kerjasama BN-PH pada program Penerangan Isu Semasa: Anda Tanya Saya Jawab di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Masih ramai ahli UMNO yang kurang jelas bahawa parti Melayu itu bukan bergabung dengan DAP, sebaliknya hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Md. Jais Sarday berkata, salah tanggapan itu yang menyebabkan ramai ahli yang hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) dan situasi itu merugikan parti tersebut.

Justeru, beliau berkata, ahli UMNO perlu jelas dengan asas penubuhan kerajaan perpaduan yang membabitkan lima gabungan iaitu PH, BN, Parti Warisan Sabah (Warisan),  Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Dalam gabungan itu, terdapat 19 parti termasuk parti komponen BN, iaitu MIC dan MCA, keputusan untuk bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan perpaduan bukan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, namun ia keputusan parti.

“Keputusan penyatuan gabungan itu disebabkan untuk membentuk kerajaan setelah tidak ada parti yang memperoleh majoriti mudah, jadi tak boleh kata kita bergabung dengan DAP, itu tidak betul.

“Itu adalah naratif yang dibawa oleh musuh UMNO dengan niat untuk melagakan ahli-ahli kita, sebab itu kita kena faham dahulu asas gabungan ini,” katanya menjawab soalan pada program Penerangan Isu Semasa: Anda Tanya, Saya Jawab di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini malam tadi.

Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Menteri Besar Perak.

Md. Jais yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang berkata, ahli UMNO perlu mengikis persepsi negatif terhadap DAP yang dahulu merupakan musuh parti dengan membuka lembaran baharu.

Katanya, ada kemungkinan kerjasama membabitkan PH-BN  akan bertahan lebih lama sekiranya kesemua gabungan dapat mendokong prinsip yang sama dan saling menghormati antara satu sama lain.

“DAP pada hari ini terima kedudukan agama Islam, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan raja-raja Melayu. Bagi saya, DAP boleh ketepikan falsafah perjuangan asal dia semata-mata nak bekerjasama dengan kita.

“Ada yang tanya tadi sampai bila kita nak bersama DAP dengan PH, selagi kedudukan hak istimewa Melayu, raja-raja Melayu, agama Islam tidak digugat oleh mereka, selagi itulah kita bersama.

“Hari ini, kita baru sahaja lapan bulan dan kerajaan hari ini akan perkasakan sekolah tahfiz, ada DAP bising? Kerajaan turut umum pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah-sekolah terpilih, ada DAP bising? Ini bukti mereka bersedia terima kedudukan orang Melayu dan agama Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN