Presiden PSAP calon PN di Pelangai? - Utusan Malaysia

Presiden PSAP calon PN di Pelangai?

Haslihelmy DM Zulhasli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOAL pemilihan calon parti-parti politik bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Bentong, Pahang, pada 7 Oktober ini semakin panas apabila Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli dikatakan bakal menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN).

Difahamkan, Haslihelmy, 36, anak tempatan dan ahli UMNO di Bentong sejak 2008 hilang kepercayaan terhadap parti itu yang dikatakan menggadaikan prinsip perjuangan sejak bersama DAP dan gagal membela nasib rakyat.

Presiden PSAP itu difahamkan akan meninggalkan UMNO dalam masa terdekat dan menyertai parti politik dalam gabungan PN. Beliau dikatakan lebih cenderung kepada Pas.

Selain anak tempatan di Bentong, ahli keluarga Haslihelmy terutama bapanya lahir di Pelangai dan merupakan anak jati di situ sebelum berpindah ke Janda Baik. Ibunya juga anak kelahiran Kampung Benus dalam daerah Bentong.

Haslihelmy sangat dikenali dalam kalangan anak muda di Pelangai sebagai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lantang bersuara dalam isu-isu rakyat di negeri ini.

Pada 29 Ogos lalu, Haslihelmy menjadi individu pertama membeli borang di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang bagi menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas pada PRK DUN Pelangai.

MAKLUM BALAS

Presiden PSAP itu mengakui mendapat maklum balas yang memberangsangkan tentang kerusi DUN Pelangai kerana beliau merupakan anak jati di situ.
“Masyarakat di Pelangai juga memberikan isyarat cukup jelas dan mereka mahukan seorang wakil rakyat yang lantang bersuara.

“Saya akan membawa suara NGO dan isu setempat di kawasan DUN sekiranya diberi mandat oleh rakyat kawasan itu,” jelasnya ringkas.

Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Susulan itu, SPR menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.

Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.

MENEWASKAN

Allahyarham menewaskan calon PN, Kasim Samat (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi.

Jika tiada angin masakan pokok bergoyang dan persoalan tentang desas desus yang hangat itu difahamkan akan terjawab pada majlis pengumuman calon PN dijadualkan 20 September ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam berkata, golongan profesional, ulama dan aktivis, antara calon yang bakal diketengahkan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Perangai.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya belum memuktamadkan nama kerana pihaknya sedang meneliti beberapa tokoh untuk diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan diangkat untuk parti memuktamadkan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, majlis pengumuman calon PRN PRK DUN Perangai akan diadakan pada Rabu ini.

“PN negeri telah bersetuju untuk calon Pas akan mewakili PN memandangkan kerusi Pelangai adalah kerusi yang dipertandingkan oleh Pas mewakili PN sebelum ini.

“Jentera parti PN telah digerakkan bagi membuat persiapan awal dan telah memutuskan Majlis Peristiharan Calon akan diadakan pada 20 September di Pelangai,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN