Polisi intervensi lapuk bantu agensi, bukan petani - Utusan Malaysia

Polisi intervensi lapuk bantu agensi, bukan petani

Polisi intervensi kerajaan era 1960-an tidak membantu petani. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi badan berkanun yang ditubuhkan kerajaan pada tahun 1960-an untuk membantu petani tidak lagi relevan apabila kehidupan petani masih di takuk lama.

Bahkan polisi lapuk itu antara punca wujudnya monopoli dan orang tengah dalam struktur pemasaran padi dan turut mengakibatkan kemerosotan hasil padi yang dihadapi negara sejak 2015.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Perunding, Laboratori Kajian Polisi Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, pada zaman 1960-an, polisi tersebut rasional untuk membantu petani kecil menguruskan pembangunan tanah, pengeluaran serta pemasaran komoditi.

Menurut beliau, bahkan badan tersebut berjaya membawa golongan tersebut yang ketika itu ketinggalan daripada aspek pendidikan, keluar daripada kepompong kemiskinan.

Bagaimanapun, beliau berkata, setelah beberapa dekad polisi intervensi tersebut mula menunjukkan kesan luar jangkaan antaranya, yang diperkasakan bukanlah golongan petani sebaliknya agensi ditubuhkan.
Katanya, agensi tersebut menjadi semakin besar dan memiliki pelbagai anak syarikat, tetapi golongan petani di takuk lama.

“Penumpuan kepada keuntungan agensi dan subsidiari menyebabkan kerjaya dan perusahaan petani terbatas sebagai pengeluar sahaja. Tiada peluang pergerakan kerjaya menegak mahupun mendatar.

PEKEBUN KECIL

“Selain itu, dana awam besar tahun demi tahun perlu diperuntukkan kepada agensi berkenaan untuk membantu pekebun kecil kerana gagal meningkatkan pendapatan mereka walaupun ditadbir sejak lebih separuh abad,” katanya.

Menurut Fatimah, rasionalnya polisi intervensi tersebut adalah kerana golongan tersebut tidak mampu berdikari tanpa bantuan kerajaan kerana kekurangan modal dan akses kepada maklumat terbatas justeru keputusan penubuhan agensi sedemikian menepati tuntutan pasaran pada era berkenaan.

“Dalam kes sektor padi dan beras, untuk mengelakkan petani daripada cengkaman orang tengah, kerajaan mewujudkan agensi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengambil alih kegiatan pemasaran padi dan beras petani.

“Rasionalnya ialah syarikat besar mampu membantu petani dalam aspek pemasaran, import dan pengagihan beras dengan cekap. Sektor ini juga dilindungi sepenuhnya dengan kawalan harga lantai dan siling, pemusatan agihan baja serta sokongan subsidi input dan tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung laporan Utusan Malaysia berkaitan hasil padi negara merosot sehingga lebih 300,000 tan metrik dalam tempoh enam tahun sejak 2015 di seluruh negara, sekali gus menjadi antara faktor kekurangan bekalan beras tempatan semakin sukar untuk mencapai tahap saraan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×