JOHOR BAHRU: Polis membuka dua kertas siasatan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berkaitan agama, bangsa dan raja (3r) dalam kempen dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan mengambil keterangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada Selasa ini.
“Ada dua kertas siasatan dibuka terhadap Tan Sri Muhyiddin susulan kenyataan beliau berkaitan ‘fatwa’ dan kenyataannya berkenaan orang Melayu akan hilang kuasa. Jadi, kita akan panggil beliau pada 12 September ini untuk diambil keterangan,” katanya selepas meninjau proses mengundi bagi Parlimen Pulai di pusat pengundian Maktab Sultan Abu Bakar, semalam.
Semenara itu, Ayob berkata, buat masa ini, tiada kertas siasatan baharu dibuka membabitkan pemimpin parti politik lain berhubung isu 3R.
Pada Sabtu lalu, Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan tentang memberi undi kepada Suhaizan Kayat pada Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas, Parlimen Pulai. – UTUSAN










