SEREMBAN: Semua kesatuan guru di negara ini akan berperanan sebagai salah satu saluran untuk menyampaikan dasar dan maklumat mengenai pendidikan ke peringkat akar umbi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penglibatan kesemua kesatuan itu penting kerana ahli-ahlinya dan guru merupakan pelaksana dan pendukung menentukan kejayaan dasar baharu pendidikan negara.
“Teras kami yang pertama adalah untuk memastikan komunikasi akan sampai dan Kongres akan sentiasa menyambut agenda Kementerian Pendidikan dan akan menggunakan saluran kesatuan selain di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk sampaikan maklumat, dasar dan agenda kementerian kepada akar umbi pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Madani di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini, semalam.
Seminar yang disertai oleh 350 orang peserta itu dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) dengan kerjasama Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM.
Seminar tersebut diilhamkan melalui idea dan konsep ‘Karamah Insaniah’ yang telah diperkenalkan oleh Fadhlina iaitu konsep menyatukan segmen Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara holistik dan bersepadu.
“Ia seminar penting yang menumpukan sepenuhnya kepada citra yang disebut sebagai guru insani khususnya menyentuh Karamah Insaniah menerusi pendidikan, saya telah sebutkan berulang kali, ia pastinya dapat angkat darjat manusia khususnya dalam berikan akses pendidikan kepada anak-anak kita,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina dalam ucapannya mengulangi komitmen kementeriannya yang mahu memberi perhatian dalam isu buli, jenayah seksual dan perkauman yang kini disifatkan beliau sebagai cabaran dalam sektor pendidikan. – UTUSAN










