SEREMBAN: Seorang pekerja p-hailing yang tular di media sosial apabila dia berjalan kaki sambil menggalas beg penghantaran makanan selepas motosikalnya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada bulan Disember nanti.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, lelaki berusia 26 tahun itu diperintahkan hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada 18 Disember ini.
“Motosikalnya boleh diambil semula selepas fail siasatan dilengkapkan dan cukai jalan serta insurans diperbaharui.
“Dia ada didakwa di mahkamah atas kesalahan menunggang motosikal di atas jalan raya dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan polisi insurans tidak berkuatkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, JPJ mengesahkan sitaan terhadap motosikal milik penghantar makanan tersebut berikutan LKM kenderaan itu telah tamat tempoh dan tiada insurans.
Tindakan menyita motosikal dilakukan JPJ atas tujuan menjaga keselamatan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans.-UTUSAN.










