PETALING JAYA: Pemuda UMNO akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis supaya satu siasatan dijalankan terhadap kebocoran dokumen didakwa ‘Memo Dalaman’ Jabatan Peguam Negara (AGC) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh berkata, tindakan wajar diambil bagi mengembalikan keyakinan orang awam terhadap sistem perundangan Malaysia ekoran dakwaan tersebut.
Katanya, Pemuda UMNO berasa terkilan kerana sehingga ke hari ini tidak ada maklumbalas sahih yang menjawab kepada tuntutan agar siasatan dijalankan samada dokumen tersebut berserta isi kandungannya sahih ataupun tidak.
“Mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya juga telah mengeluarkan kenyataan pada 18 Ogos mendesak supaya satu siasatan dijalankan berkenaan kesahihan dokumen yang didakwa ‘Memo Dalaman’ Jabatan Peguam Negara bertarikh 10 Oktober 2019.
“Namun, amat mendukacitakan apabila Jabatan Peguam Negara telah mengumumkan bahawa Peguam Negara kini sedang bercuti sehingga beliau bersara kelak pada 6 September,” katanya dalam kenyataan.
Sebuah dokumen yang didakwa ‘Memo Dalaman’ Jabatan Peguam Negara oleh pasukan pendakwaan IPIC setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 menyentuh berkenaan dengan enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan Mohd. Irwan. – UTUSAN










