Pembelian panik punca beras tempatan kurang di Johor - Exco - Utusan Malaysia

Pembelian panik punca beras tempatan kurang di Johor – Exco

ZAHARI SARIP menyampaikan beras tempatan seberat 10 kg dan seekor ayam yang dibeli oleh seorang pengunjung sempena Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal, Jalan Datin Halimah, Larkin Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembelian panik dalam kalangan masyarakat dipercayai antara faktor utama berlakunya kekurangan bekalan beras tempatan dalam pasaran di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, isu kekurangan beras tidak sepatutnya berlaku di negeri ini kerana bekalan sedia, iaitu 23,000 tan metrik melebihi penggunaan sebanyak 21,000 tan metrik sebulan.

“Saya mahu perbetulkan persepsi rakyat Johor, untuk makluman tidak berlaku kekurangan kritikal bekalan beras di negeri ini kerana stok bekalan melebihi penggunaan.

“Tetapi apa yang berlaku adalah pembelian panik apabila keluarga yang biasa beli sekampit beras sebulan, tiba-tiba membeli dua atau tiga kampit sekali gus. Ini termasuk pengusaha makanan, peniaga kantin dan pengusaha katering kerana mereka risau tiada bekalan.

“Itu secara tidak langsung menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan beras tempatan di negeri ini, disebabkan berlakunya pembelian panik dalam kalangan masyarakat,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Zahari berkata, penggunaan beras tempatan di negeri ini dianggarkan sebanyak 316,000 tan metrik setahun.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihak berkuasa tidak menerima sebarang aduan tentang ada pihak yang menyorok bekalan beras di negeri ini.

“Saya tidak nafi ada berlaku kekurangan, cuma bukan kekurangan serius. Mungkin semasa mereka sampai di kedai kebetulan stok baru habis atau stok baharu belum sampai. Tetapi data diterima daripada pelbagai agensi berkaitan tidak menunjukkan kekurangan bekalan yang serius.

“Setakat hari ini juga, kita tidak terima laporan rasmi berhubung perkara itu, mungkin dalam media sosial ada sebut tetapi laporan rasmi kepada KPDN tiada, jadi saya alukan jika ada,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya