Muda tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Muda tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menyer­tai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dibuat bersama pimpinan Muda yang lain.

“Surat telah diutus ke Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) berkenaan perihal ini. Ini merupakan keputusan yang sukar tetapi ia mesti dilakukan.

“Tindakan kerajaan menggu­gurkan 47 pertuduhan rasuah Tim­balan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) menyukarkan Muda untuk terus kekal berada dalam kerajaan.

“Ini bukan kali pertama saya membuat keputusan berdasarkan prinsip,” kata beliau menerusi sebuah video yang dimuat naik di aplikasi X semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, selepas 77 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) tersebut.

MENGECAM

Susulan itu, Muda mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengecam Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang tunduk kepada perasuah.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, Muda selepas ini mahu memberi fokusnya menjadi kuasa ketiga di blok pembangkang.

“Kuasa ketiga blok pembangkang supaya menjadi sua­ra rakyat dan mainkan peranan semak dan imbang. Muda akan tetap menyokong segala usaha reformasi institusi serta perihal rakyat,” katanya.

Pengumuman Muda ini menyebabkan Kerajaan Perpa­duan kini hanya mempunyai 147 ahli parlimen iaitu kurang satu kerusi untuk majoriti dua pertiga.

Muda hanya mempunyai dua wakil rakyat yang mewakili parti tersebut iaitu Syed Saddiq sebagai ahli Parlimen Muar dan Amira Aisya Abdul Aziz sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa.
Sebagai rekod, Syed Saddiq mempunyai kes mahkamah membabitkan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

Pendakwaan itu dilakukan ketika Syed Saddiq memegang jawatan sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

Pada 11 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid selesai mendengar hujah di akhir kes pembelaan dan memaklumkan keputusan bagi kes itu akan dibuat pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Namun tarikh tersebut masih belum ditetapkan sehingga hari ini. Bagi pertuduhan tersebut Syed Saddiq diwakili Peguam Gobind Singh Deo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN