Muda berhak nilai semula sokongan - Saifuddin - Utusan Malaysia

Muda berhak nilai semula sokongan – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL berucap pada Ceramah Kelompok PH di Taman Anggerik, Kempas, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berhak membuat apa sahaja yang mereka mahukan termasuk menilai semula kedudukannya dalam menyokong kerajaan perpaduan.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Muda berhak membuat keputusan sendiri dan mengetahui kesannya.

“Itu saya anggap sebagai satu reaksi yang diluahkan dan sebagai sebuah parti politik, Muda tahu baik buruk tindakan yang mereka buat,” katanya selepas menghadiri Ceramah Kelompok PH di Taman Anggerik, di sini.

Muda dalam satu kenyataan semalam dilaporkan tidak akan teragak-agak untuk menilai semula kedudukannya dalam menyokong kerajaan perpaduan jika tiga tuntutan parti itu terhadap perkembangan kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak diambil tindakan susulan oleh kerajaan.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Presiden UMNO itu atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram adalah suatu perlanggaran terbesar terhadap garisan merah institusi kehakiman negara.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan terbuka terhadap cadangan reformasi institusi bagi tujuan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menurutnya, ketika ini kerajaan perpaduan hanya mewarisi sistem yang sudah diguna pakai oleh kerajaan terdahulu.

“Saya baca kenyataan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen (mengenai reformasi institusi). Buat masa sekarang pelantikan Peguam Negara itu adalah perkenan Yang di-Pertuan Agong tas usul Ketua Eksekutif.

“Ini bukannya pertama kali, kita mewarisi sistem yang sudah berjalan. Sekiranya terdapat apa-apa usul untuk mengubah keadaan sekarang, caranya adalah seperti yang dicadangkan oleh Wong Chen. Kita akan tengok daripada situ. Saya tiada sebarang komen lebih daripada itu,” katanya

Semalam, Chen yang juga Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mencadangkan reformasi institusi diperlukan bagi melaksanakan agenda reformasi mengenai tadbir urus yang lebih baik, ketelusan dan akauntabiliti.

Pada Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman menjelaskan kerajaan akan menjalankan kajian empirikal komprehensif dalam tempoh setahun sebelum memuktamadkan cadangan pengasingan kuasa  antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN