Mohammad Panglima Angkatan Tentera baharu

Mohammad Panglima Angkatan Tentera baharu

AFFENDI Buang (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Mohammad Ab. Rahman sambil disaksikan Mohamad Hasan dalam Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dilantik sebagai Panglima Ang­katan Tentera ke-22 berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang yang bersara setelah berkhidmat selama empat dekad dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, 55, pula dilantik Panglima Tentera Darat ke-30 berkuat kuasa semalam.

Muhammad Hafizuddeain turut dinaikkan pangkat sebagai Jeneral.

Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, semalam.

Sementara itu, Menteri Pertahanan berkata, pelantikan itu dibuat atas komitmen dan kecemerlangan Mohammad sepanjang menabur bakti dalam perkhidmatan.

“Saya mahu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohammad. Pelantikan anak kelahiran Machang, Kelantan ini adalah atas kecemerlangan beliau sepanjang 36 tahun berkhidmat untuk negara.

“Selain itu, saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada Jeneral Tan Sri Affendi Buang atas jasa bakti dan pengorbanan sepanjang berkhidmat selama 43 tahun yang disifatkan satu tempoh yang luar biasa.

“Rakyat mengharapkan sebuah angkatan bersenjata yang utuh bagi menghadapi segala ancaman. Walaupun berlaku perubahan pucuk pimpinan, saya harap semangat kesetiaan dan profesionalisme sentiasa terpahat dalam warga ATM,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga yakin pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Tentera Darat baharu berupaya membawa tentera darat ke tahap yang lebih tinggi.

“Mengambil kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada Muhammad Hafizuddeain atas pelantikannya sebagai Panglima Tentera Darat ke-30.

“Mempunyai pengalaman luas selepas berkhidmat selama 35 tahun, saya yakin beliau berupaya meneraju tentera darat dengan baik selain memberikan kepimpinan dan hala tuju baharu,” katanya.

Mohammad, 59, menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Sains Kelantan sebelum melanjutkan pengajian ke Cawangan Putera, Maktab Tentera Diraja (MTD) pada 1980.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari University of North Ca­rolina, Amerika Syarikat itu ditaulia­kan sebagai pegawai muda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Julai 1987 dan berkhidmat selama 36 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Pegawai Memerintah Batalion ke-23 RAMD (23 RAMD), Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Panglima Latihan Tentera Darat dan Panglima Medan Barat.

Sementara itu, Muhammad Hafizuddeain adalah anak kelahiran Segamat, Johor yang menerima pendidikan menengah di MTD pada 1985 sebelum meneruskan kerjaya dalam ATM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN