JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa untuk berhenti mengelirukan orang ramai, terutamanya melibatkan isu kaum, agama dan raja (3R).
Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara, beliau tidak seharusnya membangkitkan isu sensitif seperti itu.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, Dr. Mahathir seharusnya mencontohi sikap Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau dikenali sebagai Pak Lah yang berdiam diri dan terus mendoakan kesejahteraan negara ini.
“Saya minta Dr. Mahathir belajar dengan Abdullah, apabila berundur diri, beliau terus diam. Sampai hari ini beliau diam dan tidak bising.
“Sebaliknya, mendoakan untuk negara kita. Kenapa Dr. Mahathir tidak boleh duduk diam?,” katanya pada Jamuan Perpaduan Bersama Masyarakat Cina di Taman Bukit Indah, di sini.
Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.
Sementara itu, King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu mengikut teladan yang sama dan tidak menggunakan sentimen menghukum yang boleh menimbulkan salah faham kerana negara itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Sekarang kita nampak dan dengar macam-macam cerita daripada Pas. Pas buat ibarat (hanya ada) satu bangsa, satu agama sahaja di Malaysia.
“Mungkin Muhyiddin terlupa Malaysia ada berbilang kaum dan agama, kenalah saling hormat-menghormati. Janganlah jadi batu api hanya kerana mahukan undi rakyat,” katanya.
Beliau berharap masyarakat memberi peluang dan masa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi negara, sekali gus membawa negara kembali ke landasan yang tepat. – UTUSAN