PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu berkaitan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda tidak akan bertolerasi dengan isu tersebut selepas satu Malaysia dikejutkan dengan berita itu.
BERDOSA BESAR
Justeru, menurut beliau, adalah amat berdosa besar jika beliau berdiam diri kerana politik perlu berprinsip.
Pada masa sama, beliau mengecam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang tunduk kepada perasuah.
“Selepas pilihan raya umum bukan sahaja tunduk kepada perasuah, tetapi menormalisasikan perasuah.
“Jangan salahkan Mahkamah dan Hakim. Ini permohonan baru dari Kerajaan Madani sampai Hakim pun kata bazir masa dan duit rakyat. Puluhan saksi telah dipanggil, beribu muka surat dokumen dikemukakan sampai pihak Mahkamah putuskan ada kes dan masuk pembelaan.
“Empat tahun perbicaraan tiba-tiba gugurkan kes pada saat terakhir. Dulu lawan rasuah, kini normalisasi rasuah. Dulu kata nak reformasi, kini reformasi di belakang. Dulu kata nak perjuangkan rakyat, kini khianati rakyat. Tak rasa malu ke? Dulu cakap lain, sekarang buat lain,” katanya menerusi rakaman video di Facebook.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Presiden UMNO itu.
Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dikenakan DNAA bagi semua 47 pertuduhan.
Antara alasan itu termasuk pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan itu serta bagi membolehkan Suruhanjjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid.
Alasan lain menyentuh isu yang dibangkitkan dalam representasi bahawa pendakwaan dibuat secara cuai dan terburu-buru serta beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu.- UTUSAN