Keluarga tunggu Nazir pulang dari tahanan Guantanamo - Utusan Malaysia

Keluarga tunggu Nazir pulang dari tahanan Guantanamo

NAJIB Lep menunjukkan gambar terkini Nazir Lep ketika ditemui di Kampung Jeram Masjid, Muar, Johor. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Doa ahli keluarga terhadap pembebasan Nazir Lep, salah seorang rakyat Malaysia yang ditahan kira-kira 20 tahun di Pusat Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba semakin menjadi kenya­taan apabila beberapa sumber boleh dipercayai bercakap mengenai pembebasan Nazir.

Bagi menyambut kepula­ngan adik bongsu daripada lapan beradik itu, ahli keluarga Nazir sedang membina sebuah rumah di Muar buatnya.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, abangnya, Najib Lep berkata, walaupun belum ada hitam putih bila akan dibebaskan namun mereka pasti Nazir akan pulang ke Muar suatu hari ­nanti.

Katanya, sudah lebih 20 tahun mereka tidak bersua muka dengan Nazir dan teruja untuk menyambut kepulangannya dengan menyediakan sebuah rumah di Kampung Jeram Masjid di sini untuk adiknya membina semula hidup.

“Kami tidak ada hitam putih untuk mengesahkan bila Nazir akan dibebaskan cuma maklumat diperoleh daripada sumber-sumber boleh dipercayai mendedahkan, Nazir bakal kembali ke pangkuan tidak lama lagi.

“Arwah ibu, Kintan Palal yang meninggal pada 2009 selalu berkata, dia yakin satu hari Nazir akan kembali ke Malaysia. Maka dia pesan pada saya, Najib kau mesti jaga adik, bantu dia, sediakan tempat tinggal untuk dia. Bantu dia untuk dapatkan pekerjaan agar dia boleh kembali kepada kehidupan sebelum ini,” cerita Najib.

DIBEBASKAN

NAJIB Lep membina rumah untuk adiknya di Kampung Jeram Masjid, Muar, Johor. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Oleh itu, kata Najib, sejak menerima khabar Nazir akan dibebaskan, dia dan adik-beradik lain mula membina rumah berkenaan.

Katanya, sebaik adiknya pulang, rumah tersebut akan ditukar kepada nama Nazir.

“Saya jaga wasiat arwah ibu, bantu Nazir bila tiba waktu dia dilepaskan. Kami sekeluarga menanti kepulangannya dengan hati terbuka, tangan terbuka. Segala persiapan termasuk tawaran pekerjaan telah saya rencanakan. Contohnya dia boleh mengusahakan tanaman di sekitar rumah ini malah kawan-kawannya juga sudah menyatakan kesudian untuk turut sama membantu,” katanya.

Menurut laporan media, belum terdapat kepastian sama ada pihak berkuasa Amerika Syarikat akan membebaskan Nazir dan seorang lagi tahanan rakyat Malaysia, Mohammed Farik Amin. Kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan keganasan.

Bagaimanapun, media antarabangsa melaporkan, dokumen difailkan mahkamah ten­tera di Guantanamo bulan lalu memberi bayangan, kebarangkalian kedua-duanya akan dihantar pulang bagi menghadapi prosiding mengikut undang-undang di Malaysia.

PENGEBOMAN

Pada 2003, Nazir dan Mohammed Farik ditangkap di Thailand selepas dipercayai terlibat dengan insiden pengeboman di Hotel J.W. Marriott di Jakarta, Indonesia.

Selain itu, mereka turut disyaki terlibat dengan pengeboman di Bali, Indonesia pada Oktober 2002 yang mengorbankan 202 mangsa.

Kata Najib lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa Guantanamo membenarkannya menghubungi Nazir secara langsung melalui panggilan video Skype, diaturkan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Human Rights.

Menurutnya, senario itu menunjukkan perkembangan positif berbanding tahun-tahun sebelumnya yang mana bentuk komunikasi antara keluarga dengan Nazir amat terhad, hanya melalui surat dan memakan masa berbulan.

Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan Nazir melalui Skype beberapa minggu lalu.

“Alhamdulillah Nazir nampak sihat, dia menyatakan dia sihat. Dia suka bercucuk tanam di sana. Kalau dia dapat pulang ke sini, dia kata dia mahu berbakti kepada negara. Walau apa sekalipun dakwaan ke atasnya, kami sekeluarga langsung tidak percaya dengan tuduhan itu.

“Apa yang paling utama, kami telah siapkan segala keperluannya apabila tiba di Malaysia. Rumah ini menjadi saksi keterujaan kami menanti kepulangan Nazir selepas lebih 20 tahun ditahan tanpa bicara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN