Kastam patahkan cubaan seludup rokok untuk pekerja dari China - Utusan Malaysia

Kastam patahkan cubaan seludup rokok untuk pekerja dari China

MOHAMMAD Hafiz Ishak (kanan) menunjukkan rokok dan bir yang dirampas pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Taktik satu sindiket yang cuba menyeludup rokok dari negara China tanpa cukai untuk pasaran pekerja warganegara tersebut yang bekerja di negara ini berjaya dipatahkan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 9 September lalu.

Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat pergerakan rokok seludup jenama Double Happiness itu dari Pantai Timur menghala ke Lembah Klang telah menahan dan memeriksa sebuah lori bonded jenis Hicom yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 40-an di Gebeng, Pahang.

“Hasil pemeriksaan rapi telah menjumpai sejumlah 11,750 karton berisi sebanyak 2.35 juta batang rokok putih yang disyaki barang belum lulus Kastam dan Barangan Larangan Import Di Bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. 

“Jumlah nilai rokok sitaan dianggarkan sebanyak RM211,500 manakala anggaran nilai bagi lori tersebut adalah sebagai RM10,000.00 menjadikan keseluruhan nilai sitaan adalah sebanyak RM221,500,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Seremban 2, di sini, hari ini.

Jelas Mohammad Hafiz lagi, rokok China berkenaan mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan oleh pekerja warganegara China yang bekerja di Malaysia dan sindiket menggunakan kenderaan seperti lori bonded dengan mempamerkan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa.

Menurutnya, kesemua barang eksibit bersama satu unit lari bonded jenama Hicom telah disita mengikut peruntukan di bawah Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan dibawa balik ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut bersama satu tangkapan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976,” katanya.

Jelas beliau, nilai keseluruhan rampasan yang membabitkan sebuah lori dan rokok termasuk duti atau cukai yang terlibat dalam kes itu adalah dianggarkan sebanyak RM1,572,150

Sementara itu, dalam kes berasingan pada awal bulan ini, JKDM juga telah berjaya mematahkan cubaan pengedaran bir (Import, BFE dan MDNP) yang diseludup oleh sindiket dengan melakukan serbuan ke atas sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Nilai.

Menurut Mohammad Hafiz, hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh pasukan ke atas gudang tersebut telah menjumpai sejumlah bir pelbagai jenama dan saiz.

“Kesemua bir yang dijumpai adalah disyaki barang belum lulus Kastam dan Barangan Larangan Import. 

“Kesemua barang eksibit bersama satu unit van jenama Toyota Hiace telah disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan dibawa balik ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut bersama empat tangkapan berusia 40-an hingga 50-an termasuk seorang warga Myanmar,” katanya.

Menurutnya, kes seludup bir tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN