PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut dalam selepas dilanggar pemandu kereta warganegara Singapura dalam kejadian di Kilometer 16 Jalan Sua Betong-Air Kuning, di sini, pada 8 September lalu difahamkan baru sahaja memenangi tempat pertama bagi pertandingan terbaik sempena sambutan Hari Kebangsaan di tadika tempatnya belajar.
Muhammad Shaheizy Iman Muhammad Shazrein, 4, meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Port Dickson manakala bapanya berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah iaitu patah bahu dan kaki kanan.
Salah seorang guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al Hasan, Taman Desa Port Dickson, Kamisah Abu Bakar, 44, berkata, sehari sebelum kejadian, kanak-kanak berkenaan berjaya mendapat tempat pertama dan menewaskan 12 orang lagi rakannya di tadika itu.
“Iman pada waktu sangat gembira dan mengikut cerita keluarganya, sebaik pulang ke rumah, dia begitu teruja menceritakan kemenangannya itu kepada datuknya di rumah dan turut meminta jam tangan sebagai hadiah.
“Sewaktu mengambil gambar kemenangan itu, Iman sedikit pun tidak senyum. Iman ini sebenarnya seorang yang pemalu namun dalam tempoh semasa dua bulan ditempatkan di tadika ini, dia sudah bijak bergaul dengan kawan-kawannya dan mengikut arahan guru,” katanya ketika ditemui di Taman Desa Port Dickson, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang baru pulang dari tadika maut selepas motosikal dibonceng bersama bapanya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Mercedes di Kilometer 16 Jalan SUA Betong -Air Kuning.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua kenderaan itu bergerak dari arah Air Kuning menghala ke Sua Betong.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta Mercedes berkenaan sedang memotong kenderaan di hadapannya lalu melanggar bahagian tepi kanan motosikal dinaiki mangsa yang sedang membelok ke simpang kanan menghala ke Ladang Sua Betong,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Aidi Sham, pihak polis meminta saksi kemalangan tersebut tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Ia berikutan tular dakwaan di media sosial bahawa kemalangan berlaku disebabkan kereta yang terlibat berlumba sebelum melanggar sebuah motosikal di hadapannya.
Sementara itu, Kamisah memberitahu, dia mengetahui kejadian kemalangan terbabit sekitar pukul 3 petang dan terus bergegas ke Hospital Port Dickson.
Menurutnya, dia berasa sebak apabila terkenang wajah Iman semasa diserahkan kepada bapanya, Muhammad Shazrein sebelum kejadian berlaku dan anak-kanak itu juga tidak seperti biasa iaitu melambai kepada kawan-kawannya yang lain.
“Bapanya memang ambil Iman setiap kali habis sekolah, tidak sangka pula kali ini mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya yang memberitahu bapa Iman kini masih lagi dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan patah di bahagian bahu dan tidak dapat bangun semasa hari kejadian.
“Jadi dengan bantuan pihak hospital telah meletakkan jasad arwah yang merupakan anak sulung daripada dua beradik di dada ayahnya sebelum proses menguruskan jenazah,” katanya.-UTUSAN.