PUTRAJAYA: Jabatan Bantuan Guaman (JBG) memberikan bantuan guaman kepada mereka yang layak di bawah lunas perundangan dengan jumlah 45,177 kes berjaya dikendalikan dan diselesaikan sejak tahun 2018 sehingga Jun lalu.
Daripada jumlah penyelesaian tersebut, sebanyak 21,827 kes melibatkan kes syariah, manakala 17,698 merupakan kes sivil dan 5,662 adalah kes jenayah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Datuk Norazmi Mohd. Narawi berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1970, jabatan itu berperanan untuk memberi akses kepada orang ramai khususnya yang kurang berkemampuan secara percuma bagi mendapatkan keadilan.
Jelasnya, mulai 1 Mei lalu, kerajaan memutuskan untuk menaikkan had kelayakan kepada ‘orang yang dibantu’ daripada RM30,000 kepada RM50,000 setahun bagi memastikan lebih ramai orang mendapat perkhidmatan bantuan guaman.
Pemohon yang mempunyai sumber kewangan tahunan tidak melebihi RM50,000 setahun layak mendapat bantuan guaman penuh dan hanya perlu membayar RM10 sebagai fi pendaftaran.
“JBG mahu melihat semula skop bidang tugas sedia ada supaya orang ramai tahu kewujudan dan peranan JBG yang mana apabila berlaku sesuatu kes atau permasalahan undang-undang, perkara pertama terlintas di fikiran mereka adalah mendapatkan khidmat bantuan guaman daripada JBG termasuklah mereka yang tinggal di pedalaman.
“Kita khuatir ada orang susah terjebak dalam satu proses pendakwaan jenayah dan melibatkan kos yang tinggi dalam keadaan dia memang betul-betul susah dan tidak bersalah tetapi terpaksa dipertuduhkan juga berdasarkan bukti yang ada.
“Sejauh mana orang ini berupaya menanggung kos pembelaan yang tinggi untuk mempertahankan diri atas pertuduhan yang dihadapi. Di sini peranan JBG untuk menentukan sama ada orang ini layak dibantu atau tidak berdasarkan merit kes,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Norazmi berkata, pada tahun ini sahaja setakat Jun lalu, sebanyak 7,966 kes litigasi sivil, syariah dan jenayah dikendalikan JBG di mahkamah.
Dalam pada itu, beliau berkata, JBG turut menyediakan khidmat pendamping guaman iaitu satu perkhidmatan baharu yang diperkenalkan dalam pindaan Akta Bantuan Guaman pada tahun 2017 demi mendekati rakyat terutama kanak-kanak yang memerlukan bimbingan berkaitan perbicaraan kes-kes jenayah seksual.
“Khidmat pendamping guaman bagi mangsa kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah seksual ditawarkan bagi mendampingi mangsa tersebut di mahkamah,” katanya.
Selain itu, menurut Norazmi, JBG turut menawarkan khidmat pengantaraan sebagai galakan penyelesaian pertikaian alternatif bagi proses penyelesaian di luar mahkamah.
Setakat ini katanya, sejumlah 8,128 pendaftaran pengantaraan direkodkan di seluruh negara sejak 2018 hingga Mac lalu melibatkan 5,088 pengantaraan syariah dan 3,040 pengantaraan sivil. – UTUSAN










