Isu 3R terus jadi bahan kempen PRK DUN Pelangai - Utusan Malaysia

Isu 3R terus jadi bahan kempen PRK DUN Pelangai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Isu 3R iaitu agama, raja dan kaum terus menjadi bahan kempen dan ceramah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang bermula kelmarin.

Walaupun semua calon dan parti diingatkan tidak membangkitkan isu 3R, namun tidak diendahkan apabila masih ada menyentuh isu tersebut untuk menarik sokongan pengundi.

Ini kerana ahli-ahli politik percaya isu 3R boleh meman­cing pengundi Pelangai yang majoriti kaum Melayu manakala selebihnya dalam kalangan kaum Cina dan India.

Tinjauan satu ceramah perdana anjuran satu gabungan parti Sabtu lalu, terdapat pe­mimpin parti mengambil ke­sempatan mengajak pengundi memilih mereka demi masa depan Melayu.

Turut disentuh tindakan seorang ahli parlimen bukan Islam mentafsir al-Quran dengan mengaitkan dengan budaya li­beralisme yang didakwa sedang berlaku ketika ini.

Sebaliknya Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, isu 3R hanya persepsi politik cuba dimainkan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan BN-PH kononnya Perikatan Nasional (PN) mencetuskannya demi menagih undi.
Katanya, mereka sudah ke­tandusan isu setelah hilang sokongan rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menuduh pihaknya menjadi juara isu 3R.

ISLAM

“Lagipun apa salahnya kita mempertahankan agama Islam dan bangsa Melayu. Mereka sebenarnya mahu menakut-nakutkan pengundi dengan 3R.

“Sekarang bukan era 70 dan 60 an, semua maklumat di hujung jari. Pengundi muda lebih tahu apa isu yang se­ngaja di­timbulkan, dakwaan 3R ha­nya permainan politik BN-PH sahaja,” katanya ditemui semalam.

Kerusi N36 Pelangai kosong susulan kematian penyandang­nya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

PRK DUN Pelangai kali ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara BN dan PN yang masing-masing turun dengan misi wajib menang.

Dalam pada itu, rata-rata pengundi berkata mereka tidak termakan dengan isu 3R, sebaliknya mahu tawaran dan janji pembangunan di Pelangai.

Seorang penjawat awam yang mahu dikenali Nora, 36, berkata, dia hanya mahu seorang wakil rakyat yang boleh memperjuangkan kebajikan pengundi termasuk daripada soal peluang pekerjaan dan kemudahan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN