JOHOR BAHRU: Pihak Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini diharap dapat membuka lebih banyak kaunter bagi memudahkan pemilih yang tinggal dan bekerja di Singapura pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat telah mengemukakan permintaan itu supaya lebih ramai yang mencari rezeki di republik tersebut dapat pulang menunaikan kewajiban mereka.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, perkara itu perlu dilakukan kerana hampir 30 peratus pengundi di Parlimen Pulai bekerja di Singapura.
“Saya telah berhubung dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pembukaan lebih banyak kaunter bagi memudahkan pemilih yang bekerja di Singapura pulang untuk mengundi.
“Ini membolehkan pemilih yang bekerja di Singapura dapat pulang dengan selesa pada Jumaat dan Sabtu ini,” katanya kepada ketika ditemui di luar Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Tampoi, di sini hari ini.
Terdahulu, Suhaizan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor meninjau keadaan di pusat pengundian awal itu.
Turut hadir meninjau proses pengundian awal ialah calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
Suhaizan berkata, kaji selidik dan temu bual yang dijalankan mendapati pekerja Malaysia di Singapura menyatakan komitmen mereka untuk pulang mengundi pada PRK ini.
“Bukan semua 30 peratus pengundi yang bekerja di Singapura tinggal di sana, kebanyakannya adalah mereka yang berulang-alik ke republik itu.
“Ada yang mengadu sedih tak dapat melaksanakan tanggungjawab kerana terpaksa bekerja pada Sabtu, ada juga yang menyatakan kesungguhan untuk pulang mengundi di Pulai.
“Kita berharap peratus pemilih yang bekerja di Singapura ini dapat keluar mengundi adalah tinggi, seterusnya membantu kemenangan PH,” katanya. – UTUSAN