JOHOR BAHRU: Seorang ibu maut, manakala tiga anaknya termasuk yang perempuan berusia tujuh tahun sesak nafas apabila rumah kedai dihuni mereka di Jalan Senyum, Kampung Wadi Hana, di sini terbakar, awal pagi tadi.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Faiz Suleiman berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kebakaran itu pada pukul 4.53 pagi.
Seramai 49 anggota berserta 13 jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang melibatkan tiga premis tersebut.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran tersebut melibatkan tiga buah bangunan rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal. Ketiga-tiga premis itu mengandungi unit kedai dan bilik sewa dengan kemusnahan akibat kebakaran antara 65 hingga 90 peratus.
“Semasa operasi pemadaman dijalankan, empat mangsa ditemukan terperangkap di dalam sebuah bilik yang sedang terbakar dan mereka diselamatkan pada pukul 5.20 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohamad Faiz berkata, mangsa wanita berusia 53 tahun bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan akibat sesak nafas di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Sementara itu, tiga mangsa lain, iaitu dua anak lelaki berusia 21 dan 18 tahun serta seorang lagi anak perempuannya berusia tujuh tahun masih dirawat akibat sesak nafas.
“Anggota bomba menamatkan operasi tersebut pada pukul 9.25 pagi setelah mangsa diserahkan kepada pihak hospital dan api dipadamkan sepenuhnya,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memberitahu, kesemua mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut merupakan warganegara asing. – UTUSAN










