Hina PM, AMK Kelantan buat laporan polis

Hina PM, AMK Kelantan buat laporan polis

MOHAMAD Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi (dua dari kiri) bersama beberapa ahli AMK Negeri Kelantan menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan hari ini membuat laporan polis ke atas pemilik akaun Facebook Riduan Fadzli Lubis yang didakwa menghina, menabur fitnah dan jelik ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi berkata, laporan tersebut dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan mengambil tindakan kepada pelaku.

Menurutnya, pemilik akaun berkenaan telah menulis ‘peliwat, perasuah, pembohong baca khutbah’ pada ruangan komen di bawah hantaran yang mengandungi pautan video Anwar menyampaikan khutbah di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), Amerika Syarikat di laman Facebook Astro Awani.

“Pertama kali saya melihat pautan video berserta komen tersebut adalah pada dua hari lepas. Kemudian saya melihatnya kembali secara lebih jelas pada hari ini dan terus membuat laporan polis.

“Saya hadir bersama tujuh hingga lapan ahli AMK Negeri Kelantan kerana hari ini merupakan hari bekerja, manakala untuk menunggu hari Jumaat mengambil masa agak lama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Mohamad Ezzat Zahrim memberitahu, komen tersebut secara jelas boleh menimbulkan suasana tidak harmoni, perpecahan dan menggugat kestabilan dalam negara ini selain mampu mendatangkan penghinaan serta kebencian bagi membangkit rasa tidak setia kepada kerajaan.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia beliau percaya kenyataan tersebut jelas mempunyai elemen jenayah, iaitu penghinaan dan fitnah terhadap Perdana Menteri Malaysia.

“Saya turut membuat tangkap layar komen dan laman Facebook individu terbabit untuk dikemukakan sebagai bukti kepada pihak polis. Laporan ini perlu dibuat bagi mengelakkan perkara sebegini berterusan.

“Kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab seperti itu boleh mendatangkan kesan kepada generasi akan datang dan menampakkan seolah-olah negara kita tiada undang-undang,” ujarnya.

Mohamad Ezzat Zahrim berkata, negara ini mempunyai undang-undang dan semua pihak perlu menghormati pemimpin tidak kira siapa dan mewakili parti politik mana sekalipun. 

“Ada cara untuk kita mengkritik dengan lebih baik dan bukan menghina, memfitnah serta memburukkan pemimpin.

“Kami harap pihak polis bertindak tegas demi membuktikan kepada negara-negara luar bahawa Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan mempunyai pemimpin berkaliber. isu sebegini tidak boleh berterusan kerana ia memburukkan imej negara,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN