Hanya 4.6 peratus rakyat Malaysia makan sayur

Hanya 4.6 peratus rakyat Malaysia makan sayur

BILANGAN rakyat Malaysia makan sayur dalam hidangan utama sangat rendah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 1.5 juta atau 4.6 peratus rakyat di ne­gara ini mengambil sayur da­­lam setiap hidangan sebagai amalan pemakanan seimbang bagi menjaga kesihatan.

Keadaan tersebut menunjukkan tahap literasi kesihatan rakyat negara ini masih rendah sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap isu-isu yang melibatkan kesihatan umum.

Pengarah Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr. Manimaran Krishnan berkata, sikap merupakan menjadi punca utama majoriti rakyat negara ini tidak peduli dengan tahap kesihatan mereka walaupun mereka mengetahui apa yang sepatutnya perlu dibuat bagi mengekalkan tahap kesihatan.

“Seperti contoh, ramai yang tahu makan sayur itu penting tapi hanya 4.6 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang hanya makan sayur seperti panduan makanan seimbang yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Selain itu, ramai yang tahu mengenai banyak jenis pe­nyakit tapi tidak melakukan tindakan yang sepatutnya seperti bersenam dan tidak merokok. Jadi, KKM amat bimbang de­ngan trend ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada kempen kesedaran anjuran Persatuan Kanser Kanak-Kanak Malaysia (CCAM), semalam.

Beliau berkata, rakyat negara ini perlu meningkatkan pengetahuan berhubung perihal kepen­tingan penjagaan kesihatan, supaya kesihatan mereka berada dalam keadaan optimum.

Jelas Dr. Manimaran, apabila kesihatan berada di dalam keada­an optimum, mereka boleh mengelak daripada terkena pe­nyakit tidak berjangkit (NCD) se­perti kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi dalam tempoh jangka masa pendek dan panjang.

“Contohnya, penyakit ken­cing manis terbina dalam jangka masa panjang sekiranya seseorang itu mengambil makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula tinggi dalam tempoh jangka masa yang panjang.

“Jadi diharap rakyat Malaysia ambil tahu mengenai tahap kesihatan mereka dan lakukan pemeriksaan kesihatan setahun sekali apabila mereka sudah berumur 18 tahun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×