PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa pernah mengemukakan kaedah hukum syarak mengenai hak pengampunan dalam kesalahan jenayah kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semasa pemerintahan Pas pada 1999-2004.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, setelah mendengar penjelasan daripada pihaknya, Sultan Mizan terus melaksanakannya dalam suatu Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Terengganu Darul Iman yang dipengerusikan oleh Baginda dalam satu kes pembunuhan seorang wanita.
Kata bekas Menteri Besar Terengganu itu, baginda telah membuat suatu perubahan dengan terus menghubungi walinya (keluarga mangsa) bagi mendapatkan izin pengampunan mengikut hukum Islam.
“Begitulah hakikat keadilan undang-undang Islam yang digeruni oleh pihak penjajah, termasuklah dalam perkara pengampunan hukum jenayah Qisas yang jauh daripada anggapan orang yang buta al-Quran, dan perlu difahami dengan dalil dan nas, bukannya perbualan di kedai kopi,” katanya dalam Facebook.
Terdahulu, Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.
Beliau berkata, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan. – UTUSAN










