Fire Fighter Solution anjur siri jelajah kempen keselamatan kebakaran, penggunaan APA - Utusan Malaysia

Fire Fighter Solution anjur siri jelajah kempen keselamatan kebakaran, penggunaan APA

PASUKAN Fire Fighter Solution yang akan mengadakan siri jelajah kempen keselamatan kebakaran dan penggunaan alat pemadam api di kawasan perumahan serta kampung di seluruh daerah di Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Syarikat pembekal perkhidmatan produk Alat Pemadam Api (APA), Fire Fighter Solution akan mengadakan siri jelajah kempen keselamatan kebakaran dan penggunaan alat itu membabitkan kawasan perumahan dan kampung di seluruh daerah di negeri ini.

Pengarah Operasi Fire Fighter Solution, Suziliana Abd. Rahim berkata, menerusi siri jelajah itu akan diadakan pengisian program seperti demonstrasi pemadaman kebakaran menggunakan APA, tips keselamatan mengendalikan kebakaran dan pencegahan kebakaran di rumah.

Beliau berkata, program itu penting bagi memupuk kesedaran awam berkaitan keselamatan kebakaran.

“Langkah itu diambil bagi memastikan tiada insiden kebakaran yang kecil dibiarkan mudah merebak tanpa ada usaha penyelesaian ditangani oleh pemilik rumah yang boleh menyelamatkan harta dan nyawa.

“Kempen berkenaan memberi fokus kepada lokasi perumahan dan perkampungan kerana di rumah berisiko memasak atau membakar setiap hari dan terdedah kepada bahaya api,” katanya di sini hari ini.

Suziliana berkata, selain perlu berhati-hati dengan penggunaan gas serta dapur memasak, aliran arus elektrik juga perlu diambil perhatian kerana ia boleh menjadi penyebab berlaku perkara tidak diingini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) berkaitan bagi memastikan penggunaan kedua-dua alat keselamatan itu tidak diabaikan.

“Setiap rumah disyorkan memiliki sekurang-kurangnya satu unit APA bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran di kediaman masing-masing.

“Kita mahu orang ramai sentiasa bersedia dalam keadaan kecemasan terutama ketika berlaku kebakaran, atas sebab itu pentingnya ada alat pemadam api di rumah masing-masing,” jelasnya.

Beliau berkata, siri jelajah itu juga bagi mengajak komuniti setempat supaya prihatin dengan aspek keselamatan di rumah masing-masing.

“Pihak kami mengambil inisiatif mengadakan kempen tersebut sebagai salah satu tanggungjawab sosial dan mewujudkan kepekaan orang ramai tentang bahaya kebakaran di rumah.

“Jika orang ramai boleh membeli rumah dan perabot berharga ratusan ribu ringgit mengapa alat pemadam yang berharga tidak sampai RM150 tidak mampu dibeli,” soalnya.

Menurutnya, turut ditawarkan sewa beli bagi memberi pilihan untuk membeli dan memeterai suatu perjanjian dengan Fire Fighter Solution bagi pembelian secara ansuran pada tempoh tertentu, kebiasaannya enam bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya