ARAU: Hasil padi negara merosot sehingga lebih 300,000 tan metrik dalam tempoh enam tahun sejak 2015 di seluruh negara, sekali gus menjadi antara faktor kekurangan bekalan beras tempatan semakin sukar untuk mencapai tahap saraan diri.
Pada 2015 hasil padi direkodkan sebanyak 2,741,404 tan metrik dan jumlah tersebut berterusan merosot sehingga tahun 2021 dengan hasilnya merudum kepada 2,418,148 tan metrik.
Kemerosotan tersebut dipengaruhi beberapa faktor tetapi punca utama akibat cuaca tidak menentu, kos operasi, kos baja dan racun.
Kos operasi antaranya merangkumi kos penyediaan tanah sawah, semaian, kos penjagaan dan seterusnya tuaian turut memerlukan kos besar selain input pertanian seperti baja dan racun semakin mahal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Agroteknologi Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Rashidah Ruslan berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, Belanjawan 2024 yang dijadual dibentang di Parlimen, bulan depan perlu memberi fokus kepada isu padi.

Menurut beliau, data keluaran padi yang merosot membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila India telah menghentikan eksport makanan ruji bukan basmati ke negara ini malah Vietnam dan Thailand juga sedang mempertimbangkan melakukan perkara sama.
Menurut beliau, faktor hasil tidak menentu itu secara langsung menjadi antara pendorong kepada kekurangan beras tempatan di dalam pasaran ketika ini.
SIMULASI
“Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), hasil simulasi pemodelan unjuran hasil tanaman padi bagi kawasan jelapang di semenanjung bakal menunjukkan penurunan hasil sehingga 19 peratus di Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi tempoh 30 tahun akan datang.
“Di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor pula trend penurunan dijangka berlaku sehingga 39 peratus antaranya dipegaruhi senario perubahan iklim global bagi tempoh yang sama.
“Jadi kerajaan juga disyorkan untuk memberi lebih tumpuan kepada isu perubahan iklim kerana tidak dapat tidak, Malaysia turut akan terkesan seterusnya menjejaskan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, jumlah belian padi di kilang juga menunjukkan kemerosotan sehingga 30 peratus dalam tempoh 10 tahun sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan keterjaminan makanan negara khususnya membabitkan makanan ruji rakyat Malaysia itu.
Pada masa ini, Malaysia banyak bergantung kepada import makanan khususnya beras di sebalik hasil pula masih rendah iaitu sekitar 1.7 juta tan metrik beras setahun yang direkodkan pada tahun 2021.
Malaysia perlu bergantung kepada import beras sebanyak 35 peratus setahun dengan bekalan beras bagi menampung keperluan rakyat negara ini adalah sebanyak 2.4 juta tan metrik bagi tempoh itu.
CABARAN
Mengulas lanjut Rashidah berkata, cabaran kerajaan untuk memenuhi tahap sara diri negara juga adalah tinggi berikutan import beras adalah satu-satunya cara bagi memenuhi keperluan stok dan penimbal negara.
Katanya, hal demikian juga berkaitan cabaran utama yang perlu dihadapi oleh pesawah di kawasan terlibat bagi merealisasikan penghasilan padi yang tinggi.
“Antara cabaran tersebut melibatkan kos yang tinggi. Peningkatan harga kos operasi merangkumi operasi penyediaan tanah, semaian, peringkat penjagaan dan seterusnya tuaian memerlukan kos operasi yang besar sehingga menekan pesawah apabila kadar sewaan adalah tinggi bagi penggunaan jentera di setiap peringkat.
“Antara galakan atau insentif yang boleh diperkenalkan kerajaan bagi meremajakan industri padi adalah dari segi peningkatan penggunaan jentera bersesuaian di setiap peringkat penanaman.
“Selain itu, galakan atau Insentif pinjaman bagi pengusaha yang menggunakan teknologi dron bagi penyemburan racun dan pembajaan. – UTUSAN










