PETALING JAYA: Editor Malay Mail, Audrey Edwards menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.
Audrey yang berusia 48 tahun telah berada dalam industri kewartawanan lebih 20 tahun.
Sebelum menyertai Malay Mail, mendiang telah berkhidmat dengan The Star selama 18 tahun di mana beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan hingga memenangi pelbagai anugerah.
Audrey terkenal dengan perjuangannya mengenai HIV/AIDS, meliputi isu-isu yang terdiri daripada jangkitan dalam kalangan Orang Asli di Johor, yang terbaharu mengenai khidmat seks dari rumah dan program pengurangan bahaya di sempadan Malaysia-Thai.
Pada tahun 2018, Audrey menerima Anugerah Khas Media Riben Merah kerana sumbangannya kepada kewartawanan HIV/AIDS di Anugerah Media Red Ribbon.
Penghormatan lain diterimanya termasuk Wartawan Terbaik (Bahasa Inggeris) daripada Kelab Akhbar Kebangsaan dan Anugerah Media Kementerian Kesihatan (Cetak).
Mendiang juga telah menulis buku peringatan untuk Yayasan AIDS Malaysia dan Majlis AIDS Malaysia, bertajuk Ending AIDS: Silver Linings in the First 25 Years of Malaysian AIDS Council.
Audrey juga adalah felo dengan Alfred Friendly Press Fellowship pada tahun 2006 termasuk berkhidmat selama enam bulan untuk The Washington Post.
Upacara penghormatan dijadualkan di gereja Church of The Visitation di Seremban esok (Sabtu) dari pukul 2 petang hingga 10 malam dan Ahad dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Upacara pengebumian akan diadakan pada hari Isnin tengah hari. – UTUSAN