DUN: SEZ contohi Zon Ekonomi Shenzhen - Utusan Malaysia

DUN: SEZ contohi Zon Ekonomi Shenzhen

:ONN HAFIZ GHAZI menjawab soalan berkenaan status SEZ pada Sidang DUN Johor Ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura akan mengambil contoh usaha pembangunan Zon Ekonomi Shenzhen yang berupaya merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM1.93 trilion pada 2021.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerjasama itu akan memperkukuhkan lagi hubungan baik antara Johor dan Singapura untuk kemakmuran dan kemajuan kedua-dua belah pihak.

“Dalam masa hanya empat dekad, Shenzhen telah berubah dari sebuah perkampungan nelayan yang miskin menjadi bandar metropolis antarabangsa berteknologi tinggi dan KDNK Shenzhen mencecah RM1.56 trilion (hampir AS$300 bilion), mengatasi Hong Kong buat kali pertama pada 2018. Dalam tempoh hanya empat dekad, KDNK Shenzhen melepasi paras RM1.93 trilion (lebih AS$400 bilion) pada 2021 dan telah berubah menjadi bandar ketiga terbesar di China.

“Apa yang dicapai oleh Shenzhen membuktikan bahawa SEZ Johor-Singapura boleh membuahkan hasil yang terbaik untuk negeri Johor, namun perkara ini pastinya memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak, daripada kerajaan Singapura mahupun kerajaan Persekutuan,” katanya menjawab soalan lisan Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) berkenaan status terkini SEZ Johor-Singapura pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Onn Hafiz (BN-Machap) berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong pada pemukiman pemimpin di Singapura pada bulan depan akan membincangkan lanjut perkara itu dan seterusnya akan disusuli dengan persetujuan Terms of Reference (ToR).

Beliau mengakui gembira dan teruja dengan perkembangan itu kerana ia akan terus memperkukuhkan hubungan baik antara Johor dan Singapura demi kemakmuran dan kemajuan bersama. 

“Antara objektif utama menubuhkan SEZ Johor-Singapura adalah bagi memudahkan pergerakan warga, barangan dan perkhidmatan antara dua negara yang diyakini akan meningkatkan nilai perdagangan, peluang pekerjaan, pelaburan dan pentadbiran yang berkesan.

“Cadangan penubuhan ZES yang melibatkan sempadan dua negara berbeza ini bakal menjadi yang pertama seumpamanya di dunia. Perkara ini dapat memperkasakan sektor industri berteknologi tinggi, antaranya elektrik dan elektronik, farmaseutikal, sektor automotif/ kenderaan elektrik (bahagian dan komponen), pertanian dan hortikultur serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Bagi memastikan agenda SEZ berjaya, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri harus bersedia dengan insentif-insentif yang mampu dan boleh menarik ramai pihak ke zon khas itu.

Antara perkara yang boleh dilaksanakan ialah Insentif kemasukan visa pelbagai, pas khas/laluan khas, insentif percukaian khas, pengecualian lesen perniagaan, infrastruktur yang baik dan ketersediaan pekerja berkemahiran.

“Ditambah lagi kedudukan Johor yang strategik, pelabuhan-pelabuhan bertaraf antarabangsa, ketersediaan tanah untuk dibangunkan dan dimajukan menjadikan Johor dalam kedudukan terbaik untuk menjayakan SEZ ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN