Dua keputusan rayuan bakarDarul Quran Ittifaqiyah hari ini

Dua keputusan rayuan bakar Darul Quran Ittifaqiyah hari ini

KEBAKARAN pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September 2017 yang mengorbankan 23 nyawa manakala lima lagi cedera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga hari lagi, genap enam tahun kejadian kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat yang meragut nyawa 21 orang pelajar berusia di antara 16 dan enam tahun dan dua tenaga pengajar pusat berkenaan.

Ada mangsa ditemukan dalam keadaan rentung, terbakar (tidak rentung sepenuhnya) dan ada yang masih sempurna. Cerita belakang tabir menyatakan, mangsa yang ditemukan sempurna (kebanyakannya kanak-kanak) kera­na mereka dilindungi di bawah ‘timbunan’ mangsa-mangsa lain.

Punca kematian kesemua mang­sa adalah akibat terhidu asap. Punca kejadian adalah daripada ejek-mengejek di antara sekumpulan remaja yang menetap di kawasan perumahan tersebut dengan para pelajar tahfiz berkenaan.

BELA DIRI

Pada 17 Ogos 2020, seorang remaja berusia 19 tahun didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh kesemua mangsa kebakaran itu di akhir kes pembelaan manakala rakannya telah dibebaskan daripada pertuduhan sama tanpa dipanggil membela diri pada 28 Januari 2020.

Walaupun Penama 1 didapati bersalah atas kesalahan membunuh, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana dia merupakan pesalah kanak-kanak.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun, namun, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun akan membuat dua keputusan berhubung kes tersebut.

Keputusan pertama membabitkan rayuan yang difailkan oleh remaja yang didapati bersalah (dikenali sebagai Penama 1) dan yang kedua ialah rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang lagi remaja (Penama 2).

PENJARA

Bagi rayuan pertama, sekiranya rayuan dibenarkan, Penama 1 akan terus dibebaskan dan akan pulang ke rumah selepas ditahan di penjara sejak 2017.

Menurut peguam, Haijan Omar yang mewakili remaja yang kini berusia 22 tahun itu, walaupun pihak pendakwaan ingin memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan (sekiranya Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan), anak guamnya itu masih perlu dibebaskan terlebih dahulu.

Perkara sama berlaku sewaktu Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 melepaskan dan membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebelum mereka disabitkan semula dengan kesalahan itu pada 13 Januari 2015.

Bagi Penama 2 pula, sekiranya Mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, remaja terbabit perlu dipanggil untuk membela diri di Mahkamah Tinggi.

Dia juga perlu ditahan semula sehingga kes di peringkat bela diri diputuskan.

Ketika berhujah pada 9 Mac lalu, Haijan menyatakan keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence) yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak cukup untuk mensabitkan anak guamnya.

Ujarnya, tiada saksi mata yang melihat Penama 1 melakukan perbuatan tersebut kecuali keterangan saksi yang melihat anak guamnya melompat pagar dan memasuki pusat tahfiz berkenaan.

SUARA

Tambahnya, walaupun terdapat perbualan ‘bila nak bakar tahfiz’ di sebuah warung sewaktu Penama 1 dan rakan-rakannya yang lain berkumpul di sebuah warung sebelum kejadian kebakaran itu, namun, saksi tidak dapat memastikan pemilik suara berkenaan.

Sementara itu, pihak pendakwaan dalam rayuan mereka menyatakan adalah mustahil kebakaran tersebut dilakukan oleh Penama 1 seorang diri.

Ini kerana adalah mustahil untuk Penama 1 untuk membawa naik dua tong gas yang masing-masing seberat 14 kilogram dari tingkat bawah ke atas.

Keterangan saksi Bomba sebelum ini menyatakan satu daripada tong berkenaan dalam keadaan menegak dan satu lagi dalam keadaan melintang di hadapan pintu asrama.

Gas daripada tong gas berke­naan dihalakan ke pintu asrama menyebabkan nyalaan api yang berasal tercetus daripada petrol tertumpu kepada pintu berkenaan sebelum tong-tong berkenaan di­sambar api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN