DAP sudah berubah, dukung perlembagaan negara - Saarani - Utusan Malaysia

DAP sudah berubah, dukung perlembagaan negara – Saarani

SAARANI MOHAMAD ditemui wakil media selepas merasmikan program Penerangan Isu Semasa: Anda Tanya Saya Jawab di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: DAP yang dahulunya dimusuhi UMNO dan seluruh ahlinya kini sudah berubah sepenuhnya apabila mendukung asas perlembagaan negara yang menggariskan hak orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui DAP dan berjanji tidak akan mengungkit perkara itu lagi bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, hal itu diakui secara terbuka oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong dalam beberapa siri ucapan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang lalu.

“Selama ini yang menghantui hubungan UMNO dengan DAP ialah dahulunya parti itu dikatakan tidak berapa mesra dengan perjuangan orang Melayu. Dikatakan dahulu DAP menentang hak istimewa orang Melayu, tidak bersetuju dengan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tapi itu cerita dahulu.

“Sebelum pembentukan kerajaan perpaduan memang ada perbincangan dan persetujuan DAP bahawa tidak lagi mengungkit perkara berkaitan Fasal 153 perlembagaan berkaitan hak istimewa orang Melayu, berkaitan dengan Islam sebagai agama Persekutuan selain akur dengan Perlembagaan Malaysia.

“Itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa DAP kini sudah pun berubah dan bersama-sama dengan haluan UMNO yang selama ini mendukung Perlembagaan Malaysia. Maknanya, kini tak ada masalah lagi untuk orang Melayu terima DAP,” katanya selepas merasmikan program Soal Jawab Penerangan Isu Semasa UMNO Johor, di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman dan Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Md. Jais Sarday.

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan menyarankan supaya DAP menggugurkan agenda negara sekular dan slogan Malaysian Malaysia dalam perlembagaan parti berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, semua pihak dalam gabungan kerajaan perpaduan terutamanya DAP, mesti berubah menjadi parti yang lebih sederhana, jika mahu diterima orang Melayu negara ini.

Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar Perak yakin calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat akan memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September nanti.

Dalam pada itu, Saarani berkata, sudah tentu ada pihak lain yang cuba melaga-lagakan UMNO danDAP bagi memecah-belahkan kerajaan perpaduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN