DAP, Amanah gesa Peguam Negara perjelas kes lepaskan Ahmad Zahid

DAP, Amanah gesa Peguam Negara perjelas kes lepaskan Ahmad Zahid

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) mahu Peguam Negara memberi penjelasan terbuka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya, kelmarin.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau mahu rakyat mengetahui faktor yang mendorong keputusan pelepasan Presiden UMNO itu.

Beliau berkata, pihaknya sedar permohonan dibuat pihak pendakwaan untuk menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah.

AKAUNTABILITI

“DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun, demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara harus menjelaskan secara terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.

“Penjelasan ini penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.

“DAP juga akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam kes mahkamah,” katanya dalam kenyataan semalam.

INTEGRITI

DR. MOHD. HATTA RAMLI

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, dengan penjelasan terperinci, ia akan dapat memberi pencerahan kepada semua pihak, sekali gus mengangkat integriti institusi undang-undang negara khususnya Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Amanah menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid atas prinsip kedaulatan undang-undang yang didukung oleh selama ini.

“Namun, Amanah berpandangan, atas dasar integriti dan kebertanggungjawaban supaya Peguam Negara atau Jabatan Peguam Negara memberi suatu penjelasan terperinci mengenai hujah atau alasan yang mendorong kepada keputusan itu,” katanya.

Selepas 77 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bagaimana­pun menolak permohonan pasukan pembelaan supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dihadapinya.

Dalam pada itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, walaupun Ahmad Zahid masih boleh didakwa semula tetapi apa yang terjadi sudah menghantar isyarat bahawa kes rasuah yang sudah disiasat secara terperinci, didapati terdapat prima facie tetap boleh dipertikai.

Kata beliau, keputusan tersebut menyebabkan semua pejuang-pejuang antirasuah di negara ini berasa kecewa dan menyifatkan ia merupakan hari hitam untuk Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN