DAP akan tambah kerusi jika kerajaan kekal majoriti dua pertiga - Muhyiddin - Utusan Malaysia

DAP akan tambah kerusi jika kerajaan kekal majoriti dua pertiga – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN berucap pada Sesi Dialog Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan di Kempas, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa masyarakat Melayu seakan-akan telah kehilangan kuasa di negara ini apabila kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan.

Ini kerana, dakwanya, walaupun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merupakan orang Melayu, namun kehidupan masyarakat Melayu seolah-olah tidak terbela dan berharap pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram membuat pilihan terbaik pada 9 September ini.

“Realiti sekarang seperti lagu UMNO zaman jahiliah (anak kecil main api), hari ini ada kuasa tetapi ditangan siapa, di dalam kerajaan paling banyak kerusi adalah DAP. Mereka sebenarnya adalah punca kuasa.

“Sebagai contoh, sejak bila di dalam negara tidak boleh dibincangkan isu-isu 3R, termasuk soal kalimah Allah baru-baru ini. Sebagai seorang Melayu Islam, saya perlu pertahankan perkara ini, jika tidak boleh pertahankan perkara ini adalah ini bukan negara Melayu,” katanya ketika berucap pada Sesi Dialog Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan di Kempas, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PRK Parlimen Pulai khususnya penting untuk menjaga kepentingan Melayu Islam.

“Ini kerana kerusi Parlimen Pulai akan menentukan sama ada kerajaan sekarang mempunyai jumlah kerusi majoriti dua pertiga (148 kerusi). Jika mereka menang bermakna mereka boleh meminda perlembagaan dan banyak lagi.

“Tidak lama lagi cukup tempoh untuk melakukan persempadanan semula kawasan Parlimen, maka kalau kerajaan berhajat untuk tambah kawasan Parlimen pastinya ia melibatkan kawasan bandar kerana mengambil kira kepadatan penduduk. Sekiranya itu berlaku, kawasan yang ditambah pastinya kawasan bukan Melayu. Jika itu berlaku pastinya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 atau ke-17 kerusi DAP akan bertambah, maka hilanglah tanah Melayu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memaklumkan peratusan masyarakat berpendapatan rendah sudah bertambah dan bukan lagi B40, sebaliknya adalah B60.

“Ini bermakna daripada 100 orang, 60 daripadanya adalah dalam kalangan berpendapatan rendah, ini hakikat dan realiti sekarang. Namun apa yang telah dilakukan kerajaan Persekutuan ketika ini walaupun sudah sembilan bulan memerintah.

“Jika begini situasinya semasa pandemik Covid-19 melanda negara, mungkin kesannya lebih teruk kepada rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN