PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Jasmine Loo Ai Swan memfokuskan beberapa pelaburan di luar negara membabitkan wang AS$340 juta (RM1.58 billion) dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disita dan dibekukan.
SPRM turut akan menyiasat wang diterima Jasmine yang digunakan wanita itu untuk membeli beberapa aset di luar Malaysia.
Satu sumber berkata, keterangan berkenaan penting bagi SPRM mengenal pasti punca kenapa pembayaran itu dibuat oleh syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low dan beberapa individu lain.
“Keterangan Jasmine penting memandangkan dia berperanan sebagai penasihat am atau general counsel 1MDB sebelum ini.
“Selain itu, siasatan SPRM terhadap Jasmine juga dilakukan bagi mendapatkan lagi maklumat lanjut kes 1MDB yang sedang dibicara ketika ini,” kata sumber itu.
Menurut sumber, SPRM telah menghantar surat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyambung mengambil keterangan Jasmine minggu hadapan selepas keterangannya selesai diambil semalam.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Jasmine masih dalam tahanan polis dan tiada keperluan mereman wanita berkenaan untuk proses soal siasat.
DIJANGKA
“Soal siasat terhadap bekas peguam 1MDB itu telah dilakukan sejak Isnin lalu dan ia dijangka mengambil masa tiga hari,” kata beliau selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 di sini semalam.
Jasmine sekutu rapat Jho Low ditahan polis pada 7 Julai lalu selepas dia menyerah diri.
Terdahulu, Azam yang merasmikan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 di Sepang berkata, industri sukan elektronik (e-sukan) kini dalam radar dan pemantauan agensi itu.
Menurut belau, SPRM melihat industri itu mudah terdedah dan membuka peluang kepada aktiviti dan transaksi rasuah.
“Walaupun SPRM belum membuka sebarang siasatan membabitkan industri itu namun pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti salah laku rasuah dalam sukan itu.
Lebih membimbangkan, kata beliau, industri e-sukan juga berdepan cabaran kerana ia tidak membabitkan transaksi perbankan sebaliknya dalam bentuk digital seperti bitcoin. – UTUSAN










