Cukai progresif perlu ikut kemampuan kewangan individu

Cukai progresif perlu ikut kemampuan kewangan individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cukai progresif yang mengenakan kadar mengikut kedudukan kewangan dan pendapatan individu dianggap lebih adil kerana tidak membebankan terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Setakat ini terdapat 10 negara yang berjaya melaksanakan cukai progresif seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, Belgium, Kanada, Denmark, Jerman, Norway, Sweden, United Kingdom dan New Zealand mengikut kaedah berkenaan.

Di AS, sebanyak tujuh kategori kadar cukai mengikut pendapatan masing-masing dilaksanakan bermula 10 peratus sebagai kadar terendah diikuti 12 peratus, 22 peratus, 24 peratus, 32 peratus, 35 peratus dan kadar tertinggi 37 peratus.

Ia berbeza dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dianggap sebagai cukai regresif kerana kadar rata enam peratus dikenakan beberapa tahun lalu memberi kesan besar kepada golongan pendapatan rendah berbanding golongan pendapatan tinggi.

Ini bermakna, kadar cukai progresif seharusnya lebih rendah kepada mereka yang berpendapatan rendah dan kadar cukai lebih tinggi dikenakan kepada mereka berpendapatan lebih tinggi.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai menyifatkan, walaupun cukai progresif dikenakan mengikut keupayaan pendapatan masing-masing, cukai progresif se­­benarnya mampu menaikkan hasil pendapatan negara tanpa membebankan golongan susah.

Namun, katanya, ia perlu diimbangi dengan meningkatkan kadar pendapatan pekerja sebagai usaha mengukuhkan ekonomi dan kuasa beli pengguna.

“Antara penyelesaian terbaik adalah menambahkan cukai yang produktif kerana mengenakan kadar cukai yang tinggi mempunyai kesan tertentu seperti reputasi negara akan terjejas terhadap pelabur asing yang mungkin tidak mahu membuat pelaburan jika kadar cukai tinggi.

“Apa yang lebih penting adalah menambah pendapatan dan perbelanjaan rakyat supaya dapat hidup sejahtera melalui pelaburan sama ada dalam dan luar negara bagi menjadikan ekonomi negara berada dalam keadaan mewah dan positif,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan, cukai progresif juga berupaya membantu kerajaan melangsaikan hutang negara.

“Ada yang mencadangkan kadar cukai ter­tentu diperkenalkan seperti GST tetapi ada cukai lebih baik yang boleh diperkenalkan oleh kerajaan seperti cukai makmur atau cukai keuntungan modal (CGT) yang mengenakan cukai kepada individu atau syarikat yang meraih keuntungan luar biasa,” katanya.

Dasar cukai progresif dijangka diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menaikkan hasil pendapatan negara dan pada masa sama tidak membebankan mana-mana pi­hak terutamanya go­longan kurang mampu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN