Beri peluang kepada Anwar tadbir - Kit Siang - Utusan Malaysia

Beri peluang kepada Anwar tadbir – Kit Siang

LIM KIT SIANG berucap pada Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

JOHOR BAHRU: Malaysia yang ditadbir oleh kerajaan perpaduan diyakini boleh menjadi sebuah negara berkelas dunia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menyeru rakyat untuk memberikan masa kepada Anwar bukan sahaja untuk memulihkan ekonomi negara, malah meletakkan negara di peta dunia.

Menurutnya, untuk menjadi negara berkelas dunia, semua pihak perlu bersatu padu dan perkara ini dibuktikan oleh kerajaan perpaduan yang digagaskan oleh lima gabungan yang terdiri daripada 19 parti politik.

“Saya yakin Malaysia boleh bangkit semula menjadi negara yang cukup dikenali di bawah pentadbiran Anwar. Jadi, kita bagi dia masa empat tahun ini untuk membuktikan perkara itu. Justeru, dalam tempoh itu janganlah kita membenarkan ada gerakan untuk menggugat kerajaan hari ini, jangan benarkan pisang berbuah dua kali setelah kerajaan kerap bertukar tampuk pimpinan.

“Kita tahu Anwar adalah seorang pemimpin yang berwibawa, jadi beri dia masa. Saya tak rasa Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkongsi ideologi yang sama untuk membangunkan negara,” katanya pada Ceramah Perpaduan Pulai di Bukit Indah, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong; Naib Pengerusi DAP Johor,  Sheikh Umar Ali dan Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali.

Dalam pada itu, Kit Siang menyeru penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling keluar mengundi bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan.

“Sekalipun Pakatan Harapan (PH) gagal pertahan kerusi Parlimen Pulai, saya tak melihat ia akan menjejaskan kerajaan hari ini. Sekalipun kerajaan perpaduan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, kerajaan hari ini masih stabil.

“Jadi, untuk apa kita perlu menyokong pembangkang, kita perlu beri mesej jelas bahawa kerajaan perpaduan yang ada pada hari ini mendapat sokongan pelbagai kaum dan Johor boleh memberikan contoh yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN