Belum angkat sumpah sudah terima lebih 30 permohonan - Suhaizan - Utusan Malaysia

Belum angkat sumpah sudah terima lebih 30 permohonan – Suhaizan

SUHAIZAN KAYAT (kanan) mengambil makanan untuk orang ramai yang menghadiri Majlis Kesyukuran Rakyat dan Petugas PRK PH dan BN di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Belum mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pulai yang baharu, namun Suhaizan Kayat telah menerima lebih 30 permohonan daripada penduduk di kawasan tersebut.

Justeru, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berjanji akan memberi perhatian penuh terhadap perkara tersebut dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya.

“Saya telah terima lebih 30 permohonan daripada penduduk kawasan ini dalam masa sehari. Itu tambahan kepada catatan yang dibuat sepanjang tempoh dua minggu berkempen. Majoriti permohonan itu lebih kepada infrastruktur, berkaitan perumahan serta program untuk anak muda dan wanita.

“Sekarang ini kita sudah menghampiri hujung tahun, jadi itu merupakan satu cabaran bagaimana hendak menguruskan permohonan tersebut,” katanya ditemui semasa menghadiri Majlis Kesyukuran Rakyat dan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Dewan Raya Taman Bukit Indah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui peranan dimainkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam membentuk karakter dan peribadinya sebagai seorang ahli politik.

“Beliau beri tunjuk ajar kepada saya dalam politik, bukan sahaja di Johor malah juga di Malaysia. Semasa dalam didikannya, beliau selalu menyebut mahu pegawai-pegawainya untuk mengikut jejak langkah beliau, jadi saya akan cuba memenuhi permintaan itu.

“Kita perlu hargai jasa Allahyarham khususnya menerusi inisiatif Payung Rahmah,” jelasnya.

Pada PRK Parlimen Pulai semalam, Suhaizan mendapat 48,283 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dengan 29,642 undi, manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi hanya meraih 528 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN