PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan dakwaan rasuah melibatkan seorang bekas menteri berhubung pemberian tender.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, suruhan jaya itu sedang meneliti maklumat berkaitan dakwaan rasuah selepas satu laporan dibuat UMNO Wilayah Persekutuan, kelmarin.
“Dakwaan rasuah itu membabitkan salah laku bekas menteri itu dalam pemberian kontrak penyelenggaraan.
“Ya, SPRM juga dah buka siasatan susulan laporan yang diterima semalam,” jelas sumber.
Kelmarin, Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar Ghulam Mustakim berkata, pihaknya menerima dua mesej tular di WhatsApp dua hari lalu mengaitkan bekas menteri itu dengan beberapa individu berkaitan pemberian kontrak menyelenggara bangunan di bawah kementeriannya.
Beliau berkata, mesej pertama mengaitkan bekas menteri itu dengan pemberian kontrak kepada seorang kontraktor utama yang didakwa membolot projek penyelenggaraan tersebut.
Dalam perkembangan lain, sumber berkata, keterangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor telah diambil bagi melengkapkan siasatan berhubung kecurian unsur nadir bum (REEE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah.
“SPRM ambil keterangan beliau Ahad lalu di pejabatnya,” katanya ringkas.
Pada 11 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan tersebut sudah berada di peringkat akhir, namun perlu melihat kepada beberapa perkara dalam konteks undang-undang, sistem dan prosedur.
Pada 9 Ogos melaporkan, SPRM memperoleh keterangan baharu, namun masih menangguhkan tindakan memanggil Muhammad Sanusi kerana ingin meneliti maklumat atau petunjuk baharu yang diterima.
Azam berkata, pihaknya akan menyiasat maklumat terbaharu tersebut bagi menyokong siasatan sedia ada sebelum tindakan selanjutnya dijalankan.
Bagaimanapun, Azam menerangkan, perkara yang dilihat adalah mengenai kuasa untuk meluluskan perlombongan haram itu kerana dakwanya, ia bukan keputusan daripada kerajaan negeri, sebaliknya Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, mesej pertama mengaitkan bekas menteri itu dengan pemberian kontrak kepada seorang kontraktor utama yang didakwa membolot projek penyelenggaraan tersebut. – UTUSAN










