MUAR: Seorang bayi berusia 45 hari dan seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 144.40, Lebuhraya Utara-Selatan, di sini awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima laporan mengenai kemalangan pukul 3.10 pagi.
“Satu kemalangan maut telah berlaku melibatkan sebuah kereta dan dua buah motosikal di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara. Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal jenis Honda berwarna kelabu terbabas lalu jatuh di atas jalan raya.
“Ini menyebabkan penunggang motosikal jenis Honda berwarna biru yang berada di belakangnya cuba mengelak ke kanan tetapi telah hilang kawalan lalu terjatuh di sebelah kanan jalan.
“Dalam masa yang sama, datang sebuah kereta yang berada dari arah sama tidak sempat mengelak dan terlanggar seorang mangsa yang terbaring di atas jalan raya sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke tepi sebelah kiri jalan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal jenis Honda warna kelabu berusia 20 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa dalam kereta merupakan lima sekeluarga dengan seorang bayi lelaki berumur satu bulan 15 hari telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital kerana kecederaan parah.
Lima lagi mangsa kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Fadli Ismail berkata, lima jentera dari BBP Pagoh, BBP Bukit Gambir dan BBP Tangkak dengan kekuatan keseluruhan seramai 18 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Terdapat seorang lelaki dewasa yang merupakan penunggang motosikal mengalami kecederaan dan seorang lagi penunggang telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan. Mangsa seterusnya dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans dan mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN