PETALING JAYA: Malaysia dan negara lain seperti Brunei, Filipina, Vietnam termasuk India yang terkesan dengan tuntutan China melalui peta standard edisi 2023 digesa supaya bersepakat dan mencabar kes itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Pakar undang-undang berpandangan, ia bertujuan bagi menyelesaikan pertikaian China yang mendakwa sebahagian besar perairan Laut China Selatan sebagai wilayahnya, sehingga meliputi perairan Malaysia sedangkan ia adalah kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (ZEE).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ia tidak memberi kekuatan jika Malaysia sahaja bertegas memperjuang hak kedaulatan sedangkan negara lain tidak bersama memberi sokongan.
Katanya, kelewatan bertindak dari segi perundangan dikhuatiri mendorong China bertindak menguasai seluruh perairan Laut China Selatan.
“Perkara ini sudah muncul sejak berpuluh tahun lagi, namun mengapa masih belum selesai? Setiap perkara perlu diselesai dengan kebijaksanaan. Kalau Malaysia sahaja bangkit, ia akan memberi kesan kepada perjanjian ekonomi sebelum ini.
“Jadi, mesti ada rundingan awal antara kesemua negara. Jika tiada solusi dan China tetap berdegil, maka kesemua negara terlibat perlu membawanya bersama-sama ke ICJ.
“Tuntutan China ke atas Laut China Selatan sampai tahap yang terkandung dalam peta adalah amat melampau dan tiada asas undang-undang antarabangsa maritim. Ini tidak boleh dibiarkan berlarutan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pakar undang-undang maritim antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli menggesa supaya kerajaan Malaysia menggerakkan aset pertahanan negara ke kawasan yang menjadi tuntutan dan pertikaian bagi menunjukkan pendirian mempertahan hak kedaulatan.
Katanya, Singapura sendiri berjaya menunjukkan kesan kawalan lebih besar ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) berbanding Malaysia kerana keberkesanan republik itu dalam menggerakkan aset ketenteraannya.
“Apa tindakan selanjutnya yang Malaysia boleh lakukan? Sekarang kita hanya mengeluarkan notis bantahan, tidak setuju. Untuk menunjukkan kepada China bahawa kawasan ini kawasan kita, maka kita perlu sediakan aset yang cukup kepada agensi pertahanan.
“Atau kerajaan bina infrastruktur. Mengapa Indonesia kalah dalam kes tuntutan Sipadan dan Ligitan? Sebab kita ada infrastruktur di sana, manakala Indonesia tidak berjaya menunjukkan mereka melakukan sesuatu bagi mengawal pulau itu,” katanya.
Selain itu, kata Mohd. Hazmi, kerajaan harus segera mengeluarkan peta baharu yang menunjukkan persempadanan negara, termasuk hak ke atas perairan di Sabah dan Sarawak.
Ini kerana, katanya, edisi terakhir hanya dibuat pada 1979 selain kerajaan perlu kerap membuat kenyataan tidak mengakui ‘Sembilan Garis Putus’ yang dituntut China di Laut China Selatan.
“Jika China keluarkan peta edisinya sendiri dan Indonesia sudah buat pada 2017, Malaysia bila pula? Saya pasti kalau kita keluarkan peta baharu yang meletakkan perairan Sabah dan Sarawak milik negara kita, China akan bantah. Buat sahaja, yang penting kita ada peta baharu,” katanya.
Wisma Putra baru-baru ini memaklumkan, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang meliputi kawasan maritim negara.
Katanya, tuntutan maritim sepihak China sama sekali tidak mengikat Malaysia selain konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa pihak asing ke atas kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia
1979.
Kerajaan Malaysia dilaporkan akan menghantar nota bantahan terhadap China susulan tersebut. India, Filipina dan Taiwan turut membantah serta enggan mengiktiraf peta dikeluarkan China. – UTUSAN










