KOTA TINGGI: ‘Aku gerak dulu’ menjadi perbualan terakhir antara Mohamad Hakim Md. Nor, 19, dengan salah seorang rakannya, Iqbal Faiz Mat Sah, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 50, Lebuhraya Senai-Desaru, semalam.
Mohamad Hakim memberitahu, Iqbal Faiz bukan sahaja rakan belajar, bahkan rakan serumah selepas mereka menyewa bersama-sama sejak Jun lalu.
“Iqbal dan tiga rakannya yang terlibat nahas itu serta beberapa rakan lain telah merancang perkhemahan sejak seminggu lalu sempena cuti Hari Kebangsaan. Mereka menyewa kereta untuk berkhemah di Pantai Batu Layar bertolak pada Jumaat dan balik Sabtu. Ketika kejadian berlaku mereka sebenarnya dalam perjalanan balik ke Batu Pahat kerana pada hari Ahad kami sudah mulai kelas.
“Masih segar dalam ingatan saya bila dia hendak keluar ambil kereta sewa, dia sempat berkata ‘aku gerak dulu’ tak sangka itu adalah perbualan terakhir kami sebelum saya dapat panggilan pukul 3 petang menyatakan Iqbal maut dalam kemalangan,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.
Katanya, Iqbal Faiz seorang rakan yang periang dan peramah, namun dua hari sebelum itu dia seolah-olah menyepikan diri.
Mereka sempat meluangkan masa makan bersama, namun makanan Iqbal Faiz tidak habis seperti tiada selera selain tidak banyak bercakap.
“Selepas itu kami sudah tidak berjumpa kerana dia terlibat dengan perarakan kemerdekaan. Cuma pada hari Jumaat itu sebelum dia bertolak ke Kota Tinggi kami sempat solat Jumaat bersama-sama dan dia seorang rakan yang baik dan menyenangkan hati rakan-rakannya,” katanya memaklumkan jenazah Iqbal Faiz akan dikebumikan di Kuantan, Pahang.
Dalam kejadian pukul 2.15 petang semalam, selain Iqbal Faiz, turut maut Nurul Afrahrina Sazli, 19, dan Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19, manakala seorang lagi rakan mereka, Izznur Harith, 19, mengalami cedera parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Kota Tinggi.
Kesemua mereka ialah penuntut Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian itu melibatkan sebuah Perodua Bezza yang dinaiki empat rakan tersebut dengan dua buah kereta jenis Volkswagen Beetle dan Toyota Innova.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza dalam perjalanan dari arah Desaru menuju ke arah Senai cuba memotong kenderaan di hadapannya lalu bertembung dengan Volkswagen Beetle dan Toyota Innova.
Pemandu Volkswagen Beetle sempat mengelak dan bergesel dengan Perodua Bezza, namun bertembung dengan Toyota Innova.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun. – UTUSAN