7,500 pekerja asing untuk tiga sub sektor

7,500 pekerja asing untuk tiga sub sektor

Kerajaan membuka kuota pengambilan pekerja asing sebanyak 7,500 orang bagi memenuhi keperluan tenaga kerja tiga sub sektor perkhidmatan iaitu tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan membuka kuota pengambilan pekerja asing sebanyak 7,500 orang bagi memenuhi keperluan tenaga kerja tiga sub sektor perkhidmatan iaitu tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, ia selepas diputuskan dalam mesyuarat bersama antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri pada 27 Jun lalu berdasarkan pengumuman Perdana Menteri berhubung pembukaan semula pengambilan pekerja asing tiga sub sektor tersebut yang dibekukan sejak 2009.

Menurut beliau, langkah ini bertujuan menghentikan kecenderungan majikan menggajikan war­ganegara asing tanpa dokumen pekerjaan sah sekali gus berpotensi besar berlakunya eksploitasi dan amalan buruh paksa.

“Bagaimanapun, pembukaan semula ini tidak bersifat menyeluruh dan akan berlandaskan kepada keperluan sebenar sub sektor tersebut.

“Kedua-dua kementerian ini serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperhalusi mekanisme bersesuaian pelaksanaan proses ini memandangkan kerajaan pada masa ini menghentikan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mekanisme yang dibangunkan menitik beratkan perkara-perkara seperti berkaitan permohonan yang akan tertakluk kepada perincian kuota ditetapkan dengan pihak industri yang diselaraskan KPDN selaku agensi kawal selia.

Katanya, permohonan pekerja asing akan mengikut prosedur sedia ada dari segi saringan majikan di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 dan verifikasi untuk kelulusan kuota termasuk melalui proses temuduga bersama KPDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN