PORT DICKSON: Sebanyak 47,600 liter minyak diesel berjaya diselamatkan dalam Op Tiris oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan dalam dua serbuan di Port Dickson dan Seremban.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Selatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM191,440 serta penahanan lima lelaki.
“Satu serbuan telah dijalankan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 di sekitar Lukut, Port Dickson di sini semalam dengan sebanyak 22,300 liter minyak diesel dengan anggaran nilai RM47,945 telah dirampas.
“Turut dirampas dua buah lori, tangki minyak serta pam minyak yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM98,145.” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhammad Zahir berkata, tangkapan telah dilakukan ke atas dua orang lelaki warga tempatan berusia 25 dan 43 tahun kerana disyaki telah berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdahulu dalam serbuan pada 10 September lalu, lima anggota penguat kuasa KPDN Negeri Sembilan telah menjalankan Op Tiris bersama PDRM di Jalan Kuala Sawah, Seremban.
“Sebanyak 25,300 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM54,395 telah dirampas di premis yang dipercayai dijadikan tempat pengumpulan dan pemindahan minyak diesel yang diseleweng.
“Sebuah lori treler, sebuah lori tangki dan sebuah lori bonded, tangki minyak serta peralatan yang digunakan bagi tujuan penyelewengan minyak diesel turut dirampas menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM93,295,” katanya.
Beliau berkata, tiga lelaki, warga tempatan berusia 52 hingga 58 tahun turut ditahan kerana disyaki telah melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.-UTUSAN.










