PETALING JAYA: Satu dasar komprehensif berkaitan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu ada jika kerajaan mahu bidang pendidikan tersebut diperkasa, lebih berfokus dan mampu menarik minat belia.
Tanpa dasar yang komprehensif, menyebabkan banyak kementerian, agensi dan organisasi memiliki institut pendidikan TVET sendiri tetapi tidak menampakkan hasil yang diharapkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, menerusi kerangka tersebut, kerajaan dapat menggerakkan TVET bermula dari awal khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
PENDEDAHAN
Katanya, menerusi pendedahan lebih awal itu, guru boleh mengenal pasti kecenderungan pelajarnya dan memimpin pelajar itu mengembangkan bakat dan minatnya sehingga memasuki institusi yang seiring dengan minatnya.
“Masalah yang berlaku kini ialah terdapat tujuh kementerian yang menganjurkan program pendidikan sama, menyebabkan wujud pertindihan peranan dan bidang sedangkan masing-masing bermatlamat melahirkan pelapis TVET.
“Jika ada satu dasar yang komprensif, pendidikan TVET akan lebih terurus dan belia tahu ke mana hala tuju mereka melanjutkan pengajian, bukannya teraba-raba untuk mencari peluang pendidikan yang tidak tersusun,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan lebih 70 peratus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawar kemasukan ke Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pelajaran dalam TVET.
Sehubungan itu, Fouzi berkata, kerajaan perlu melakukan satu kajian menyeluruh terlebih dahulu bagi merangka dasar TVET seperti mana Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib yang berjaya menggariskan hasrat sistem pendidikan Kebangsaan seperti wujud sekarang.
Katanya, kajian itu secara tidak langsung dapat memberi jalan keluar kepada kerajaan daripada masalah yang membelenggu sehingga menyebabkan ramai belia tidak berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut.
Beliau berkata, walaupun Kementerian Pendidikan mempunyai Kolej Vokasional sebagai laluan belia ke cabang teknikal dan kemahiran, namun hakikatnya hasrat itu tidak seperti mana gambaran asal penubuhannya.
“Para majikan kini memilih graduan TVET yang bukan lulusan Kolej Vokasional memandangkan mereka tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sedangkan pelajar pernah didedahkan aspek kemahiran dan teknikal,’’ kata beliau. – UTUSAN










