PETALING JAYA: Sudah tiba masanya skop kerja guru mengikut gred masing-masing diwartakan secara hitam putih supaya selepas ini mereka tidak lagi ‘diganggu’ dengan bebanan tugas di luar skop mengajar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pewartaan itu satu jalan penyelesaian terhadap bebanan guru yang membelenggu mereka disebabkan kurangnya kefahaman terhadap skop kerja sebenar tenaga pengajar.

Beliau menggariskan tiga peranan guru yang bukan tanggungjawab mereka seperti dilantik sebagai urusetia menyambut orang kenamaan (VIP) yang akan melawat sekolah.
Menurut beliau, mesyuarat yang dihadiri guru untuk program membabitkan lawatan VIP hampir sama banyak dengan tanggungjawab mereka mengajar murid di kelas.
“Kedua, guru-guru juga banyak dilibatkan dengan kerja-kerja memasukkan data yang sepatutnya dilaksanakan oleh pegawai tadbir. Kebanyakan data tersebut bukan berkaitan murid. Arahan dan rutin seperti itu menambah bebanan golongan berkenaan.
“Ketiganya, saya melihat guru-guru terpaksa melibatkan diri dengan banyak jawatankuasa di sekolah, kadang-kadang seorang guru sampai 10 jawatankuasa disertainya.
“Ia mengambil banyak masa golongan tersebut. Kadang-kadang program tak berjalan tapi mereka perlu menghantar laporan kepada PPD (Pejabat Pendidikan Daerah),” kata beliau ketika semalam.
PENDIDIK
Beliau berkata, pada peringkat awal skop kerja seorang guru adalah jelas iaitu sebagai pendidik kepada anak-anak murid.
Bagaimanapun, katanya, lama-kelamaan tugas guru semakin membebankan ditambah dengan program-program kementerian yang pada akhirnya ia sudah tidak tertampung.
“Pada tahun 2012, apabila diperkenalkan tugas Pembantu Pengurusan Murid (PPM), guru diberi beban pengajaran yang lebih banyak. Tugas yang sebelum ini boleh diterima menjadi tidak tertampung.
“Ada guru yang terpaksa menjadi pegawai pemeriksa aset sekolah, urusan berkaitan pengindahan sekolah, baiki kerusi atau meja rosak atas arahan pentadbir sekolah.
“Bukan kita hendak salahkan mana-mana pihak, namun skop kerja seorang pendidik perlu diwartakan supaya ia jelas mengikut gred masing-masing,” katanya.
Anuar berkata, persatuan guru dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu duduk semeja dan membincangkan untuk mewartakan skop kerja guru sekali gus dapat menyelaraskan peranan mereka di semua sekolah di seluruh negara.
Kata beliau, fokus guru adalah untuk mengajar dan mereka perlu diberikan masa yang banyak untuk merancangkan proses penyampaian pengajaran yang terbaik.
“Jika masa mereka terlalu banyak diambil untuk membuat kerja yang tidak sepatutnya, bagaimana mereka hendak merancang pengajaran yang berkesan pada sesi pembelajaran anak murid.
“Justeru, adalah lebih baik masalah tersebut ditangani dengan mewartakan secara hitam putih skop kerja guru supaya difahami bukan saja oleh guru-guru bahkan ibu bapa, pentadbir sekolah dan semua pihak,” katanya.
KPM kini mempunyai sekitar 420,000 tenaga pengajar dengan anggaran keseluruhan pelajar 5 juta murid dan pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam. – UTUSAN










