Mukadimah
Pencalonan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban, Pulau Pinang, LEE KIM NOOR, 59, dikritik dan dipersoalkan kerana parti berkenaan meletakkan calon yang berusia.
Bersama wartawan Utusan Malaysia, CATHERINE IRENE MILTON, Kim Noor bercerita mengenai pencalonannya dan kritikan tersebut.
Mengapa memilih MUDA bertanding pada PRN?
Terdapat tiga sebab mengapa saya memilih MUDA. Yang pertama disebabkan saya melihat parti tersebut bersifat berbilang kaum. Memang, parti politik yang lain juga ada mempunyai ahli pelbagai kaum, namun kalau kita ingin sertai amat sukar.
Sebab yang kedua ialah, MUDA memperkasa wanita. Saya tidak mahu orang beranggapan saya mengunakan pentas di MUDA sebagai langkah mudah untuk saya bertanding.

Peluang diberi oleh MUDA kepada 50 peratus calon adalah perempuan memberi ruang kepada mereka mendalami bidang politik.
Sebab yang terakhir ialah prinsip MUDA yang percaya golongan muda mampu menjadi pemimpin seperti yang berlaku dalam pimpinan di negara-negara luar. Ini kerana, mereka yang daripada generasi yang berbeza dan terdedah dengan penggunaan teknologi, maka mereka lebih mempunyai banyak pengetahuan berkenaan politik dan masyarakat.
Apa alasan menceburi bidang politik?
Sebelum ini, ketika banyak menyertai aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutamanya di kawasan Batu Uban, saya mendapati banyak isu dan permasalahan berpanjangan boleh diketengahkan.
Tambahan pula, kawasan DUN itu adalah kawasan yang agak padat dengan penduduk, maka beberapa perkara perlu diselesaikan.
Adakah puan berasa tercabar dengan calon yang datang daripada parti besar terutamanya PKR yang menang besar di DUN Batu Uban pada PRU14?
Saya tidak berasa tercabar. Malah saya tidak mahu penglibatan MUDA bertanding pada PRN secara bersendirian, menyebabkan pecah undi. Sebaliknya, saya berharap pengundi perlu menukar stereotaip yang hanya memilih parti, bukannya melihat pada ideologi parti tersebut bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
Apakah yang membuatkan puan berbeza dengan calon-calon yang lain?
Saya adalah peguam yang berpengalaman lebih dari 30 tahun dalam strata. Saya yakin boleh menyumbang dengan menyelesaikan permasalah isu itu di kawasan tersebut.
Jika puan menang, apakah perubahan besar yang akan dibawa terhadap pembangunan bagi kawasan DUN Batu Uban?
Ia bukanlah perubahan besar. Namun apa yang ingin saya lihat adalah perubahan pada kawasan tersebut, semak dan imbang bagi kawasan tersebut. – UTUSAN










