Taska swasta perlu diambil alih kerajaan elak kes dera

Taska swasta perlu diambil alih kerajaan elak kes dera

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengambil alih Taska yang dijalankan pihak swasta di seluruh negara sebagai langkah memastikan kejadian mendera kanak-kanak tidak terus berulang selain menjamin keselamatan mereka.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sejak tahun 2014 terdapat peningkatan taska yang dioperasikan oleh pihak swasta sehingga melebihi jumlah taska kerajaan.

Kata beliau, apa yang lebih membimbangkan adalah apabila kajian yang dilakukan oleh Bank Dunia mendapati sebahagian besar daripada pengasuh yang bekerja di taska persendirian tidak mempunyai kelayakan atau tidak berdaftar.

“Mereka bukan sahaja tidak mempunyai ilmu berkaitan dengan anak-anak, cara penjagaan, psikologi dan kemahiran mengurus anak-anak. Malah, nama-nama pengasuh ini juga kebiasaannya tidak didaftarkan kerana mereka bukan sahaja pekerja secara haram tetapi mungkin juga taska tersebut sudah beroperasi secara haram.

“Anak-anak kita diuruskan oleh sekumpulan pengasuh yang tidak mempunyai kemahiran, malah, ada kalanya dalam kalangan mereka mungkin mempunyai sifat-sifat atau masalah mental sehingga menyebabkan anak kita dipukul, ditampar dan sebagainya.” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di dalam laman Facebooknya.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan terdapat sebanyak 336 kes penderaan kanak-kanak di rumah pengasuh dan pusat asuhan dilaporkan pada 2021 hingga 2022.

Malah, kes terbaharu, tular sebuah video yang menunjukkan seorang pengasuh tergamak menampar, menyepak dan memukul seorang kanak-kanak lelaki yang baru berusia empat tahun di Sabah.

Dr. Anuar berkata, kerajaan perlu melaksanakan sebuah sistem pendidikan awal yang lebih baik seperti mana dilakukan oleh negara-negara maju iaitu ia harus diurus dan dibiayai oleh kerajaan.

“Di kebanyakan negara maju, pendidikan wajib sudah dimulakan pada usia seawal enam tahun dan ada negara wajibkan sehingga lima tahun sehingga 17 tahun. Mereka memasukkan pendidikan taska dalam sistem pendidikan wajib yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

“Ini adalah satu keadaan di mana kita ingin melihat anak-anak kita dijaga dengan baik dari peringkat pra-sekolah sehingga mereka menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah,” jelasnya

Tambahnya, sekiranya taska tidak diuruskan oleh pihak kerajaan, maka, akan berlakunya lagi kes-kes penderaan kanak-kanak seperti mana yang berlaku sebelum ini.

“Ini adalah sesuatu yang mesti dihentikan, kita tidak lagi boleh membenarkan anak-anak kita yang masih kecil, tidak dapat mempertahankan diri dan lemah itu terus didera oleh pengasuh-pengasuh tidak berkelayakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya