‘Rosmah tidak bekerja tapi duit masuk akaun RM7 juta’ - Utusan Malaysia

‘Rosmah tidak bekerja tapi duit masuk akaun RM7 juta’

Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam iaitu hari pertama perbicaraan kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN. – UTUSAN/ M. Firdaus M. Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun tidak bekerja Datin Seri Rosmah Mansor dikesan mendepositkan puluhan keping cek dan wang tunai yang semuanya berjumlah RM7,097,750 ke dalam akaun Affin Bank miliknya antara Disember 2013 hingga November 2018.

Wang tersebut digunakan untuk membayar bil-bil telefon bimbit dan kad kredit miliknya dan ahli-ahli keluarganya.

Dalam tempoh tersebut, isteri kepada bekas Pedana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengiytiharkan pendapatan membabitkan wang tersebut kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Malah ketika disiasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Rosmah memberikan kenyataan palsu.

“Pihak pendakwaan akan mengemukakan fakta-fakta ini sebagai sebahagian daripada kes ini termasuk keterangan yang direkodkan daripada tertuduh mengikut Seksyen 32(3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Apabila kesemua bukti termasuk tindakan tertuduh dinilai secara menyeluruh, ia akan memberikan inferens bahawa kesemua deposit yang dibuat dalam kes ini merupakan hasil daripada aktiviti haram,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Ahmad Akram berkata demikian ketika membaca ucapan pembukaan kes pengubahan wang haram melebihi RM7.09 juta dan elak cukai yang dihadapi Rosmah.

PERBICARAAN

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy memerintahkan kes tersebut diteruskan dengan perbicaraan selepas peguam bela, Datuk Geethan Ram Vincent memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Rosmah.

Namun, pada 18 Ogos Rosmah menghantar representasi kedua untuk mengugurkan kesemua pertuduhan terhadapnya.

Ahmad Akram pada mulanya memohon agar perbicaraan itu ditangguhkan bagi membolehkan AGC meneliti surat representasi kedua itu terutamanya beberapa nama yang disebut dalam surat terbabit.

Bagaimanapun, permohonan penangguhan itu ditolak Hakim Muniandy dengan alasan kes tersebut telah tertangguh sejak 2018 dan adalah wajar dan adil buat pendakwaan dan tertuduh supaya kes diteruskan dengan perbicaraan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN