ALOR SETAR: Tindakan beberapa menteri menyerang Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dikhuatiri hanya memakan diri dan menambah sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pas Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salim mendakwa, rakyat negeri itu semakin marah dengan tindakan tersebut dan tidak sabar untuk menterjemah kemarahan itu melalui kertas undi pada 12 Ogos ini.
“Setiap kali turun ke bawah, ada suasana marah dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan Pusat. Bagi rakyat, pemimpin ini bukan nak tumpu kepada ekonomi dan pentadbiran negara sebaliknya fokus bagaimana untuk serang Kedah habis-habisan.
“Seolah-olah pilihan raya negeri (PRN) hanya di Kedah. Kami optimis untuk mencatat kemenangan besar seperti dinyatakan Menteri Besar sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada aktiviti memasak bubur asyura bersama penduduk, di sini, semalam.
Wan Romani yang merupakan bekas Exco kerajaan negeri dan calon PN bagi kerusi Bukit Pinang turut yakin bahawa gelombang rakyat menyokong PN kali ini lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.
“Perkara itu terbukti sewaktu kita umum calon-calon PN di Kompleks Pas, 26 Julai lalu. Sepanjang saya bersama Pas di Kedah, tak pernah lagi saya lihat kehadiran seramai itu di Kompleks Pas termasuk ketika penamaan calon PRU15.
“Jumlah kehadiran cukup luar biasa sampai orang dah tak boleh masuk ke padang yang menjadi lokasi penamaan calon tersebut. Saya percaya semua itu merupakan isyarat yang baik daripada rakyat bahawa PN sememangnya mendapat sokongan mereka,” katanya.
Beliau dalam pada itu mendakwa, populariti Muhammad Sanusi juga semakin meningkat sejak diserang bertalu-talu.
“Sekarang ini kalau pemimpin atau calon Pas pergi ke mana-mana pun, semua nak angkat tangan ala Sanusi. Daripada situ, kita tahu betapa rakyat cukup cakna dengan apa yang berlaku dan menyokong apa yang dilakukan Pas dan PN Kedah,” katanya. – UTUSAN










