PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengekalkan kedudukan status quo di enam negeri dengan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Perikatan Nasional (PN) pula terus menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Keputusan setakat pukul 9 malam tadi menyaksikan kedua-dua gabungan politik itu melepasi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri masing-masing.
Di Selangor, PH-BN melepasi majoriti mudah 29 kerusi daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN); Pulau Pinang (21/40) dan Negeri Sembilan (19/24).
PN pula merentasi majoriti mudah 19 daripada 36 kerusi di Kedah; Kelantan (23/45) dan Terengganu (17/32).
Antara nama besar yang tumbang ialah Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Haron di Batu Tiga dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid di DUN Pedu serta Datuk Mahfuz Omar di Alor Mengkudu.
MENANG
Selain itu, antara pemimpin parti yang menang ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (DUN Sungai Tua); Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan (Rantau); Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (Pasir Pekan) dan timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (Panchor).
Turut menang Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Chennah; Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias (Pertang) dan Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Bertam.
Menerusi kejayaan itu, dijangka Menteri Besar dan Ketua Menteri mengangkat sumpah selepas mendapat perkenan Sultan negeri masing-masing dan persetujuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada hari ini.
Perkembangan itu menepati ramalan pelbagai badan kajian politik mengenai status quo atau keputusan 3-3 apabila parti gabungan Kerajaan Perpaduan PH-BN terus mentadbir Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala PN kekal menguasai Kedah, Kelantan dan Kelantan.
Bagaimanapun, cubaan PH-BN untuk merampas Kedah tidak kesampaian apabila rakyat negeri itu terus memberi kepercayaan kepada kepimpinan PN, begitu juga Kelantan yang dibadai pelbagai isu termasuk kegagalan kerajaan Pas menguruskan air, namun rakyat masih menaruh kepercayaan terhadap parti itu dan menunjukkan parti bertahan mentadbir Kelantan selama 33 tahun sejak 1990.
Menerusi kedudukan status quo ini, usaha PN untuk menjadikan keputusan PRN ini sebagai referendum memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui Kerajaan Perpaduan tidak kesampaian. – UTUSAN










